DUN Sabah : Sistem Perparitan Sentiasa Diselenggara Mengikut Jadual – Bung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan syarikat konsesi serta kontraktor penyelenggaraan yang dilantik sentiasa memastikan longkang dan sistem perparitan diselenggara mengikut jadual kerja penyelenggaraan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat.

“Selain dari jadual yang ditetapkan dalam kerja penyenggaraan rutin, kerja pembersihan tambahan juga dilaksanakan di bawah kerja kecemasan sekiranya diperlukan dan apabila dimohon oleh pemimpin atau penduduk setempat. 

“JKR Sabah sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi dan kontraktor penyenggaraan jalanraya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) yang bertanyakan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan terhadap syarikat konsesi yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan banjir kilat di kawasan Kota Kinabalu dan Penampang.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Notis Ketidakpatuhan Kerja (Non-Compliance Report, NCR) akan diberikan kepada syarikat jika didapati tidak melaksanakan kerja mengikut jadual dan tidak mematuhi spesifikasi kerja yang telah ditetapkan.

“Untuk makluman, sistem perparitan jalanraya adalah direkabentuk untuk menampung aliran air permukaan di kawasan jalanraya dan seterusnya disambungkan ke sistem perparitan ‘monsoon drain’ di bawah bidang seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Daripada pemerhatian, banjir kilat ini berlaku apabila kedua-dua sistem perparitan ini penuh dan tidak dapat menampung aliran air permukaan dari jalanraya dan kawasan sekitar menyebabkan air melimpah ke kawasan jalanraya,” katanya.

Katanya, paras air laut pasang dan surut juga menjadi faktor utama berlakunya banjir kilat apabila air laut pasang bertembung dengan aliran air dari sungai menyebabkan air tidak dapat disalirkan dengan cepat ke laut.

One thought on “DUN Sabah : Sistem Perparitan Sentiasa Diselenggara Mengikut Jadual – Bung

  1. Idea yang baik datuk, tolong reformasikan jkr, jabatan-jabatan kerajaan, segelintir berkerja sambil lewa, mengambil kesempatan dan hanya menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Tinggalkan Balasan kepada Engalbert Awing Batal balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *