COVID-19: Hadir Ke Upacara Pengebumian Cetus Kluster Baharu Di Ranau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kluster Mokodou – Ranau, satu kluster baharu direkodkan semalam (29 September 2021) merupakan kluster jenis komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster komuniti ini berpunca daripada menghadiri ke upacara pengebumian seorang ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Menurut Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, kes indeks merupakan warga emas lelaki, 65, yang dikesan positif hasil saringan bergejala (RTK AG positif dengan grading 97%) di Hospital Ranau pada 25 September 2021.

Katanya, siasatan awal mendapati, isteri kepada kes indeks telah meninggal dunia di rumah mereka di Kg Mokodou kerana penyakit kanser usus tahap 4 pada 15 September 2021.

“Upacara penghormatan terakhir kepada arwah telah dijalankan di rumah kes indeks yang dihadiri oleh hampir 60% penduduk Kg Mokodou serta kaum keluarga daripada Kg Tumbalang.

“Berikutan dari kes tersebut, saringan kontak rapat telah dilakukan pada 27 dan 28 September 2021 dan mengesan pertambahan bilangan kes positif di Mukim Malinsau dan Mukim Timbua dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan yang menghadiri majlis pengebumian di Kg Tumbalang.

“Manakala daripada 146 orang yang disaring, 94 orang didapati positif termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan semalam,” jelasnya.

Semalam jumlah kes di Sabah kembali ke empat angka dengan 1,000 kes manakala seluruh daerah di negeri ini juga mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 551 kes adalah daripada Saringan Kontak Rapat.

“Daripada peningkatan kes tersebut dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” ujar Masidi lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *