Penduduk Gesa Jabatan Air Tangani Masalah Air Paip Keruh Di Kuala Penyu & Menumbok

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

BEAUFORT: Penduduk di kawasan Kuala Penyu dan Menumbok terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air paip sangat keruh sejak kebelakangan ini.

Ketua Umno Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat menggesa Jabatan Air Daerah Beaufort dan Kuala Penyu supaya mengambil tindakan segera menangani masalah bekalan air paip yang sangat keruh dihadapi penduduk di kawasan tersebut.

Katanya, keadaan air yang berwarna coklat seperti air milo itu terpaksa dihadapi penduduk untuk kegunaan harian mereka kerana tidak ada pilihan lain.

“Air keruh yang mengalir dalam paip penduduk sangat menyedihkan dan Jabatan Air perlu mengambil tindakan segera untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di akaun facebooknya hari ini.

Menurut beliau, jabatan terbabit perlu memberi penjelasan kepada penduduk kenapa bekalan air ke Kuala Penyu dan Menumbok sangat keruh dalam beberapa minggu ini.

Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, berkata jabatan berkenaan seharusnya tampil memberi penjelasan munasabah supaya penduduk tidak terlalu kecewa dan mempersoalkan peranan pegawai-pegawainya dalam menjalankan tugas mereka

Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak mengizinkan situasi sedemikian terpaksa dihadapi rakyat khususnya di Kuala Penyu dan Menumbok.

“Justeru, kakitangan Jabatan Air patut melakukan sesuatu yang sesuai dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” ujar Ag Aslee.

Sementara itu, ribuan penduduk yang terlibat yang secara kebetulan baru sahaja memperolehi bekalan air di paip-paip di rumah masing-masing berasa terkejut dengan keadaan bekalan air yang sangat keruh itu.

Seorang penduduk, Matussin Latip mendakwa, pihaknya terkejut apabila mendapati air paip keruh berwarna coklat yang terpaksa digunakan untuk mandi dan minum.

Katanya, keadaan air keruh itu masih berlarutan dan ia rata-rata dihadapi penduduk yang terpaksa menggunakannya untuk keperluan harian.

Mohd Ariffin, seorang lagi penduduk yang kecewa dengan masalah bekalan air itu meminta pihak berkuasa berkaitan segera tampil menyelesaikan masalah itu.

“Kami terlalu kecewa dengan bekalan air seperti ini. Sebelum ini kami menghadapi masalah air bersih sejak beberapa bulan namun apabila air paip sudah mengalir, begini pula warnanya, memang sangat sedih,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *