Kerajaan GRS & Persekutuan Sentiasa Pastikan Nasib Rakyat Terbela

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah amat menghargai pelbagai jenis bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan sama ada melalui Kerajaan Negeri mahupun secara langsung kepada rakyat di Sabah.

Katanya, ia meliputi bantuan pengurusan COVID-19 dan bantuan-bantuan pemulihan ekonomi rakyat dan negeri.

“Setakat ini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM256.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan sejumlah RM110 juta disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk pengurusan berkaitan COVID-19.

“Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi, yang turut melibatkan negeri Sabah, antaranya, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pakej rangsangan lain. Semua inisiatif ini bertujuan untuk memulihkan sektor-sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Setahun Kerajaan GRS Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) disini semalam.

Hajiji berkata, antara contoh manfaat langsung yang telah diterima oleh rakyat di Sabah adalah melalui Program Subsidi Upah yang melibatkan seramai 283,745 pekerja dengan perbelanjaan sebanyak RM975 juta pada tahun ini. 

Katanya, seramai 782,000 rakyat negeri ini turut menerima bantuan tunai melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melibatkan peruntukan RM628 juta bagi meringankan kos sara hidup dan pemulihan sosio-ekonomi. Manakala, Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sedang dalam proses pengagihan ketika ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, selain berusaha menangani penularan COVID-19, kerajaan negeri turut berusaha sehabis baik menggerakkan agenda kebajikan rakyat.

“Kita harus memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan dan berupaya meneruskan kehidupan. Atas sebab itu, kita segera menyediakan peruntukan untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat.

“Sebagai langkah segera, Kerajaan GRS telah melancarkan Pakej Bantuan Sabah Prihatin (BSP) yang mensasarkan bantuan tunai one-off yang disalurkan secara langsung kepada rakyat yang terjejas pendapatan.

“Pelbagai segmen masyarakat telah mendapat manfaat melalui Pakej BSP,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 22 September lalu, sejumlah lebih RM471 juta bantuan telah disalurkan termasuk Pengecualian Bayaran Sewa PPR serta Pengecualian Bayaran Sewa Gerai dan Permit Penjaja yang berjumlah RM27.2 juta.

Katanya, bantuan ini telah dikeluarkan melalui tiga siri iaitu BSP 1.0, 2.0 dan 3.0. Pembayaran bagi BSP1.0 telah selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu melibatkan sebanyak RM118 juta bantuan telah diberikan kepada 392,756 penerima.

“Penyaluran bantuan BSP 2.0 pula telah selesai sepenuhnya pada 22 Jun 2021 melibatkan sebanyak RM120 juta dengan 368,298 penerima. Manakala melalui BSP 3.0, sebanyak RM118 juta telah disalurkan kepada 358,857 penerima.

“BSP juga melibatkan Bantuan Bakul Makanan (BBM) kepada golongan yang terkesan, iaitu golongan e-Kasih dan B40. Bantuan ini turut diagihkan kepada semua penduduk di bawah arahan pengawasan home quarantine sama ada di dalam kawasan PKPD mahupun di luar kawasan PKPD. Setakat ini, sejumlah 1,364,808 bakul makanan bernilai RM131.7 juta telah diagihkan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *