HUMS Sedia Beri Perkhidmatan Terbaik, Tingkat Taraf Kesihatan Rakyat Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat Sabah apabila siap sepenuhnya menjelang tahun 2023.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia merupakan antara misi utama penubuhan HUMS seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Isnin lalu.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan HUMS termasuklah khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam, khidmat pakar ortodontik, pusat farmasi, pusat makmal diagnostik, dan pusat radiologi.

“Ini sudah tentu akan melonjakkan lagi capaian perubatan khususnya doktor pakar di negeri ini sekali gus membantu meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Taufiq, walaupun bangunan hospital masih dalam pembinaan, HUMS sudah pun beroperasi di tujuh buah klinik.

“Kita mempunyai tiga klinik masing-masing di UMS Kota Kinabalu, UMS Cawangan Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

“Selain itu, HUMS juga beroperasi di Poliklinik UMS Kingfisher dan Klinik Komuniti UMS Kudat, selain mempunyai Pusat Dialisis UMS-YKN serta Klinik Pergigian.

“Pada masa yang sama kita turut menawarkan beberapa perkhidmatan. Seperti yang kita sedia maklum, HUMS mengendalikan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) UMS sejak 14 Jun lalu.

“Dan sehingga kini, kita telah pun berjaya memberikan sebanyak 101,831 dos vaksin,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Taufiq memaklumkan bahawa HUMS akan menjalankan tiga fungsi utama apabila siap sepenuhnya kelak.

“HUMS akan menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan; menjalankan penyelidikan perubatan dan sains kesihatan; serta menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada orang awam.

“Hospital pengajar ini berkonsepkan hospital pintar dan keseluruhan operasinya dibuat secara digital dengan mengaplikasikan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Bangunan HUMS akan dilengkapi dengan kemudahan terkini dengan kapasiti 400 buah katil, 22 buah wad pembedahan dan 145 buah klinik termasuk klinik pakar,” tambahnya.

Isnin lalu, Perdana Menteri dalam pembentangan RMK12 mengumumkan bahawa perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak akan dapat dipertingkatkan apabila Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Universiti Malaysia Sarawak siap sepenuhnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *