((KEMASKINI)) – ADUN Sindumin Umum Keluar WARISAN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh : ERDIE AB WAHID & NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan mengistiharkan menjadi ADUN Bebas.

Susulan pengumuman itu, beliau turut melepaskan keahlian dalam parti dan semua jawatan dalam WARISAN.

Katanya, beliau memilih untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang memerintah di Persekutuan selain turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta kerajaan Sabah.

Dr Yusof berkata, tindakannya keluar WARISAN menjadi ADUN Bebas adalah demi kepentingan rakyat dan agenda pembangunan selain mahu menstabilkan politik Sabah.

Datuk Dr Yusof Yacob dalam sidang medianya pagi tadi

“Saya sudah lama berpolitik, sudah berusia juga.  Tindakan saya ini adalah atas keputusan peribadi tanpa ada pengaruh atau tekanan dari siapa-siapa.  Begitu juga dengan Parti Warisan Sabah.

“Saya tidak mempunyai kompleks atau masalah dengan WARISAN.  Keputusan saya adalah untuk membolehkan saya fokus dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi khidmat kepada rakyat yang saya wakili di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan pembangunan Sipitang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pagi tadi.

Dr Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan WARISAN berkata, beliau turut mengadakan perbincangan bersama Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung keputusannya keluar dari parti itu.

“Kami mengadakan perbincangan biasa bersama beliau (Shafie) sebagai sahabat, beliau tiada halangan.  Ini adalah pilihan saya, dalam politik ini dia tidak statik, politik ini adalah dinamin dan berubah-ubah.

“Atas kesempatan ini saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua rakan-rakan terutama Presiden WARISAN.  Dasar saya dari dulu tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan akan terus menjadi sahabat dan rakan,” katanya.

Ditanya berhubung tindakan yang akan diambil WARISAN terhadapnya susulan pengumuman keluar dari parti itu, Dr Yusof berkata, beliau sedia untuk diambil tindakan.

“Perkara itu biasa, apa-apa tindakan selepas ini kita bersedia dan kita akan tanggung dan menerima.

“Saya cakap dengan rakan-rakan, ini pilihan saya, selepas ini nasib dan kedudukan saya dalam politik, saya akan buat kerja untuk rakyat dan rakyat akan tentukan kemana saya selepas ini,” katanya.

Turut mengumumkan keluar bersama beliau adalah beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian WARISAN Sipitang termasuk Setiauaha Bahagian; Ketua Penerangan dan Ketua Wanita Bahagian.

Selain itu, Dr Yusof berkata, seramai enam Ketua Penerangan Bahagian lain turut mengikut jejak langkah beliau antaranya Ketua Penerangan WARISAN Lahad Datu; Tawau; Beluran; Kudat; Sipitang dan Sepanggar selain Ketua Bahagian WARISAN Tawau dan dua AJK Bahagian Kimanis dan Beaufort.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *