Pensyarah FPP UMS Gerakkan Bantuan Mangsa Terjejas Banjir Kilat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Prihatin terhadap pelbagai cabaran dan kekangan yang dilalui oleh segelintir keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam era pandemik COVID-19, dua pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menggerakkan bantuan bagi mangsa banjir kilat di Kg. Sugud, Penampang.

Menerusi Persatuan Psikososial Sabah (PPS), dua pensyarah tersebut, Dr. Getrude Cosmas dan Dr. Carmella E. Ading yang merupakan ahli jawatankuasa Komiti Khidmat Komuniti PPS telah menghulurkan bantuan dan sokongan kepada sepuluh buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda baru-baru ini.

Menurut Getrude, mereka telah mengadakan lawatan ke salah sebuah kampung yang terjejas dengan ditemani salah seorang penduduk kampung, iaitu  Joannes Moduying.

“Jelas kelihatan banyak harta benda yang musnah seperti peti sejuk, kereta, televisyen dan harta benda yang lain.

“Kawasan dalam dan luar rumah yang dipenuhi lumpur, rumput dan kayu kering juga pastinya memerlukan masa dan tenaga daripada ahli keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Justeru, bagi meringankan beban kepada keluarga yang terjejas, PPS telah menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian dan makanan kepada wakil keluarga.

Pihak PPS juga katanya amat menghargai sumbangan dari individu perseorangan yang turut bersama merealisasikan sumbangan ini kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya dalam berhadapan dengan bencana seperti pandemik COVID-19 dan banjir, keprihatinan daripada semua pihak amat diperlukan tanpa mengira latar belakang bagi meringankan beban dan memberikan semangat kepada mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan,” ujar Getrude.

Selain bantuan kepada keluarga di Kg. Sugud, PPS juga telah menghulurkan bantuan makanan kepada sembilan buah keluarga di Kg Rugading, Tuaran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *