Terus Patuh SOP, Ambil Peluang Tingkat Hasil Ekonomi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Rakyat di Sabah diingatkan supaya memanfaatkan kebenaran pergerakan rentas daerah yang bermula hari ini dan rentas negeri mulai 1 November depan dengan sebaik mungkin khasnya bagi meningkatkan semula hasil ekonomi.

Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Fairuz Renddan berkata, rakyat juga perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain kawalan kendiri bagi mengelak penularan COVID-19.

“ARMADA negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam dan kita merasakan perkara ini adalah amat wajar.

“Ini kerana sudah pasti masyarakat kita akan dapat memanfaatkan peluang untuk bergerak, khasnya bagi mencari kembali sumber pendapatan dan meneroka peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, beliau turut yakin ramai anak muda yang bekerja dibandar akan pulang ke kampung bagi bertemu ibu bapa ekoran sekatan pergerakan di sempadan setiap daerah.

“Namun harus diingat, kita perlu terus menjaga SOP kerana ibu bapa di kampung adalah golongan warga emas dan risiko mereka untuk dijangkiti COVID-19 masih tinggi namun semoga semuanya baik-baik sahaja hendaknya,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut menegaskan agar ibu-bapa menitik beratkan keselamatan anak-anak kecil khasnya di bawah umur 12 tahun yang dibawa bersama keluar.

“Ibu bapa perlu sentiasa peka dan menjaga keselamatan anak-anak terutama yang masih kecil, jika boleh elakkan daripada dibawa ke tempat yang sesak.

“Sekali lagi saya yakin dengan kebenaran pergerakan rentas daerah ini akan dapat melegakan semua pihak dalam membangunkan sektor ekonomi dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau turut berkata, usaha kerajaan dalam memastikan pemberian vaksin kepada semua rakyat juga terus dijalankan dan yang masih belum menerima vaksin amat digalakkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 segera.

“Kita mahu semua rakyat di negeri ini, di negara tercinta kita Malaysia ini, terus selamat dan dilindungi, jadi kepada mereka yang masih belum menerima suntikan vaksin, ayuh berbuat demikian untuk kita lindungi diri kita, lindungi insan tersayang dan semua di sekeliling kita, insyaAllah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *