ADUN Kukusan Nafi Keluar Warisan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal yang didakwa akan meninggalkan Warisan tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan. “Saya masih lagi bersama Warisan dan akan terus menjadi wakil rakyat di bawah payung Warisan.

“Tiada istilah keluar parti dalam hidup saya kerana perjuangan politik saya masih teguh bersama kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan juga Warisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fitnah sebegini bertujuan melemahkan sokongan terhadapnya di DUN Kukusan namun, beliau yakin penyokong Warisan di kawasan itu tidak mudah terpedaya dengan khabar angin yang disebarkan melalui portal yang dikendalikan pihak lawan.

Mengulas lanjut katanya, dakwaan kononnya beliau keluar parti disebabkan kecewa dengan perjuangan Mohd. Shafie yang semakin hilang arah adalah palsu dan bersifat fitnah.

“Saya melihat visi dan misi yang diperjuangkan presiden parti masih lagi jelas dan Presiden Warisan itu tidak pernah akur dengan tekanan luar.

“Ia jelas terbukti menerusi pendirian Warisan untuk tidak menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang ditawarkan kerajaan.

“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pihak lawan sentiasa melatah, malah sanggup tukar parti dan membeli ADUN Warisan semata-mata mahu terus berkuasa,” katanya.

Naib Ketua Wirawati Sabah berkata, beliau sedikit pun tidak terkejut melihat laporan dalam portal berkenaan yang cukup jelas dikendalikan tentera siber (cybertrooper).

Dalam portal itu menyatakan, Rina bakal menjadi ADUN Warisan yang terbaru meninggalkan parti dalam tempoh terdekat kerana kecewa dengan perjuangan Presiden Warisan yang dilihat semakin hilang arah.

Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan ini memenangi kerusi DUN Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu dengan majoriti tipis 10 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Beliau memperoleh 2,834 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Chaya Sulaiman mewakili Barisan Nasional yang mendapat 2,824 undi.

Ketika ini, Warisan mempunyai 20 kerusi selepas ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia pada November tahun lalu dan dua ADUN keluar parti iaitu ADUN Sindumin yang keluar pada 8 Oktober lalu dan ADUN Sebatik, Hassan A. Gani Pg. Amir yang keluar pada Februari lalu. – UTUSAN ONLINE

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *