Papar, Daerah Terbaharu Diisytihar Dilanda Wabak ASF

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Papar menjadi daerah terbaharu yang diisytiharkan sebagai daerah dilanda wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah setelah virus itu dikesan di Kampung Kogopon dan Kampung Purak pada 14 September lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengatakan bahawa virus ASF adalah penyebab kematian 91 ternakan babi di kedua-dua kampung itu dalam tempoh dua minggu, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM50,000.

“Setakat ini, virus berkenaan hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan bukan ladang ternakan babi komersial. Di ladang komersial terdapat kira-kira 9,400 ternakan babi.

“Selain Papar, dua lagi daerah turut diisytiharkan kawasan wabak ASF iaitu Kota Kinabalu pada 30 September lalu dan disusuli Tenom pada 13 Oktober,” katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata penularan virus ASF di ibu negeri dan Tenom juga hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan kes diklasifikasikan sebagai terasing.

“Pada masa ini, kementerian belum memutuskan untuk memusnahkan semua babi di daerah terbabit kerana kes ASF itu adalah terasing dan babi di ladang komersial didapati bebas ASF selepas beberapa ujian.

“Kementeriannya akan terus mengawal aktiviti pemindahan babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan di daerah yang terbabit sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan”,katanya.

Jeffrey turut menyatakan bahawa kempen meningkatkan kesedaran di kampung dan lokasi terjejas turut dilaksanakan selain memantau aktiviti di ladang dan rumah penyembelihan di semua daerah yang dikesan wabak ASF.

Awal tahun ini, kawalan yang sama dilaksanakan di 19 daerah dan tujuh daerah iaitu Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan berjaya keluar dari zon merah dan kini berada dalam zon kuning selepas tiada kes baharu ASF dilaporkan dalam tempoh dua bulan lalu.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi ASF di negeri ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengekang penularan jangkitan wabak ASF”,kata Jeffrey.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *