174 Premis Di Seluruh Sabah Terima Anugerah Kedai Harga Patut 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sebanyak 174 premis di seluruh Sabah menerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah KPDNHEP Negeri Sabah Georgie Abas berkata, Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) ini merupakan sebuah inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara dwi tahunan sejak tahun 2003 dengan tujuan untuk memberikan pengiktirafan dan menggalakkan premis-premis perniagaan menjual dan menawarkan produk dan barangan pengguna pada harga yang berpatutan tanpa mengabaikan kualiti dan perkhidmatan jualan.

Georgie juga telah mengadakan lawatan dan seterusnya menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 di premis-premis perniagaan sekitar daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu pada Khamis.(21 Oktober 2021)

Katanya, sebanyak 22 premis yang dikunjungi semasa lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada 174 buah premis di seluruh Sabah yang terpilih untuk menerima AKHP.

Menurut Georgie, terdapat lapan kategori premis perniagaan yang telah dilakukan penilaian dan terpilih bagi anugerah tersebut iaitu kedai runcit, pasar mini, pasar raya, pasar raya besar (hypermarket), kedai makan/restoran, gerai makan, kedai alat tulis/buku dan kedai pakaian. Untuk rekod, sebanyak 2,149 buah premis di seluruh negara telah terpilih sebagai penerima AKHP 2021.

“KPDNHEP melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan akan meneruskan AKHP di masa hadapan bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik”, ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *