KSTI Giat Rancang & Laksana Inisiatif Untuk Rakyat Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

SIPITANG : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah giat merancang dan menjalankan beberapa inisiatif demi kebaikan rakyat di negeri ini.

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, pelaksanaan inisiatif itu turut dilaksanakan bersama beberapa kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Katanya, antara kementerian terlibat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan beberapa kementerian lain.

“Dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menambah pembinaan Menara Telekomunikasi baharu dan menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada 4G.

“Selain itu, SKMM juga akan menaiktaraf Pusat e-Desa kepada Pusat Internet Komuniti (PIK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat e-Desa Kampung Pelakat disin hari ini.

Yakub berkata selain daripada itu, pihak kementerian juga dalam pelaksanaan dan perancangan untuk memasang kemudahan internet teknologi satelit, Very Small Aperture Terminal (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti menjelang tahun 2022.

Katanya, ia demi merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar.

“Menjelang tahun 2022 juga, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan meliputi 90 peratus kawasan di seluruh Negeri Sabah.

“Pelan JENDELA ini dirangka berperanan demi penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada 5G secara mantap,” katanya.

Dalam pada itu, Yakub berkata, program e-Desa telah diperkenalkan oleh Unit Kemajuan IT Negeri (KIT) yang kini dikenali sebagai Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital – BITD pada tahun 2004 dengan wujudnya pusat perintis e-Desa Bundu Tuhan, Ranau.

Katanya, program ini kemudian diselaraskan di bawah Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital, sebuah Bahagian di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah (KSTI).

“Objektif penubuhan pusat e-Desa secara ringkasnya adalah untuk menyediakan kemudahan yang lengkap dan sama rata untuk pengaksesan maklumat melalui ICT dan memberi khidmat nasihat serta bimbingan mengenai ICT kepada komuniti setempat.

“Selain itu ia juga menjadikan komuniti setempat yang bukan sahaja sebagai celik ICT, malah membudayakan kreativiti dan inovasi serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk memajukan kehidupan,” katanya.

Yakub turut berharap agar program e-Desa ini dapat mengaplikasikan penggunaan maklumat dan perkhidmatan yang berteraskan Teknologi Digital, agar menjadi asas kepada peningkatan kualiti kehidupan komuniti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *