SPG LIGS Berjaya Capai Objektif, Bantu Tingkat Pendapatan Penduduk

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

TAMPARULI: Skim Penempatan Getah (SPG) Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di daerah ini berjaya mencapai objektif penubuhannya.

Timbalan Pengurus Besar Unit Kemajuan Pekebun Kecil (UKPK) Eswadi Roslan berkata, SPG itu berjaya meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk kampung terlibat.

“Pembukaan SPG di daerah ini telah berjaya mencapai objektifnya dan telah meningkatkan pendapatan dan taraf hidup penduduk kampung terlibat.

“Terutama bagi mereka yang diambil sebagai penoreh dan mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan rombongan ke Pejabat SPG LIGS di Sungai Damit, disini kelmarin.

Kehadiran Jahid turut disambut Timbalan Pengurus Besar (Skim), Alexsius Modium, Penolong Pengurus Besar (Pemasaran), Chia Ching Lian, dan Pengurus Skim SPG Tuaran, Ahmadin Omar.

Pada kunjungan dan lawatan itu, Jahid diberi taklimat ringkas mengenai SPG Tuaran, yang merangkumi objektif SPG, maklumat kakitangan skim dan bengkel, maklumat kenderaan skim dan bengkel serta kemudahan keperluan asas.

Selain itu, Jahid turut diberi taklimat berhubung senarai projek yang dilaksanakan, status projek terkini, maklumat penoreh, jumlah hasil getah (dalam skim) tahun 2016 hingga 2020, perbandingan hasil getah tahun 2020 dan 2021, hasil bulanan tahun 2021 (dalam skim), isu dan masalah.

Jahid berkata, beliau berpuas hati dengan hasil lawatan tersebut, seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha berterusan LIGS untuk meningkatkan taraf hidup penduduk khususnya di luar bandar.

“Kita berterima kasih atas sikap toleransi LIGS kepada para penduduk kampung yang melalui kawasan mereka, dan kerjasama dari segi peluang pekerjaan, isu tanah, nasihat dan sebagainya.

“Bagi pihak kerajaan negeri melalui kementerian ini, terima kasih juga atas kerjasama LIGS terutamanya dalam program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera,” katanya.

Untuk rekod, SPG Tuaran merupakan antara lima buah Skim Penempatan Getah yang dibangunkan oleh LIGS pada tahun 1980, kira-kira 5.6 kilometer dari pekan Kecil Tamparuli dan 12 kilometer dari pekan Tuaran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *