Nelayan Tempatan Dikhuatiri Hilang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiti hilang semasa memancing di perairan Pulau Dinawan Kinarut kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayan Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, SAR mula diaktifkan jam 12 tengah malam semalam selepas mangsa dilaporkan hilang di perairan berkenaan sekitar jam 10.59 malam kelmarin.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dilaporkan keluar ke laut berseorangan dengan menaiki bot pam untuk memancing ikan pada jam 2.00 petang.

“Mangsa dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mangsa dijumpai oleh orang kampung di sekitar Pulau Dinawan pada jam 2 petang,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Mohd Rosli berkata, mangsa, Halib Bidin,33, masih belum ditemui dan usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan koordinasi Maritim Malaysia yang melibatkan atur gerak Bot Kilat 39 ke lokasi pencarian.

Katanya, operasi turut dibantu aset daripada agensi yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Operasi mencari mangsa telah masuk hari kedua dengan keluasan pencarian 52 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian.

“Maritim Malaysia turut menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan kita dilaut,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia turut memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi MN Sabah  088-387774 atau 999 (MERS).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *