COVID-19: Majlis Perkahwinan, Potong Jambul Cetus Kluster Baharu Di Ranau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu direkodkan di Kg Karanaan, Ranau hari ini dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam upacara majlis perkahwinan dan dua upacara potong jambul.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Karanaan, Ranau yang dikategorikan sebagai kluster komuniti dipercayai berpunca daripada penganjuran majlis perkahwinan dan dua majlis potong jambul di daerah Ranau.

Menurut Masidi dalam kenyataannya hari ini, majlis tersebut diadakan pada 21 Oktober serta 29 Oktober 2021 dan dihadiri saudara mara dari luar daerah dan penularan virus COVID-19 telah menjangkiti 52 orang penduduk kampung.

“Kes indeks adalah seorang kakitangan awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, disahkan positif COVID-19 pada 30 Oktober 2021 dan didaftarkan pada 31 Oktober 2021.

“Sementara itu, dua kes lagi merupakan ibu serta datuk kepada kes indeks turut didapati positif telah didaftarkan pada 31 Oktober 2021 juga daripada Kg Karanaan, dikesan melalui saringan kemasukan ke Hospital Ranau pada 30hb Oktober 2021, “jelas Masidi.

Masidi turut menyatakan bahawa kluster baharu yang tercetus di Kg Karanaan, Ranau adalah satu peringatan penting tepat pada masanya betapa perlunya semua kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa.

“Ini lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok (8 November 2021) dan pelbagai sekatan ke atas majlis-majlis sosial dan aktiviti-aktiviti ekonomi akan dilonggarkan.

“Kesannya ialah risiko jangkitan virus di tempat-tempat awam dan acara-acara sosial akan semakin tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi menyeru kepada seluruh masyarakat agar tidak lalai mematuhi semua SOP yang dikuatkuasakan.

“Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab “frontliners” ke atas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan virus COVID-19,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *