HomeUtamaSTB Sedia Kembali Promosi Sabah Melalui MATTA Fair 2021

STB Sedia Kembali Promosi Sabah Melalui MATTA Fair 2021

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) siap sedia untuk kembali mempromosikan negeri ini secara agresif sebagai sebuah destinasi percutian pilihan melalui Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) atau MATTA Fair.

Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu turut disertai oleh 20 syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali selam scuba yang kebanyakan mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, usaha MATTA menganjurkan pameran pelancongan secara fizikal adalah langkah positif bagi merancakkan sektor pelancongan pada waktu pandemik.

Katanya, pembukaan pameran pelancongan terbesar Malaysia itu dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kami amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh MATTA sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. Pada bulan November, kami sudah mempunyai 56 penerbangan mingguan dari Malaysia Airlines (MAS) dan 98 penerbangan mingguan dari Air Asia, yang semuanya penuh.

“Ini menunjukkan orang ramai kini mempunyai keyakinan untuk melancong semula. Banyak hotel dan tempat menarik di negeri ini sedia untuk menerima pelawat terutama dari negeri lain.

“Kehadiran Ketua Menteri juga penting kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk melihat industri pelancongan kita pulih dengan segera kerana ia merupakan salah satu fokus utama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengenai Matta Fair 2021, disini hari ini yang turut disertai Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang.

Joniston yang juga Pengerusi STB berkata, pelancaran kempen #MansauSabahBoostku baru-baru ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan semua baucar yang ada ditebus sepenuhnya dalam masa kurang daripada 15 jam.

Katanya, dengan kerjasama salah satu penyedia perkhidmatan E-wallet Malaysia, kempen ini berhasrat untuk menggiatkan semula sektor pelancongan Sabah dan industri berkaitan.

“Maklumbalas ini menunjukkan ramai orang Malaysia sudah tidak sabar-sabar untuk menerokai Sabah. Saya berharap pengguna akan menggunakan baucer mereka sepenuhnya selain menikmati tawaran pakej melancong Sabah yang ada di Matta Fair,” tambahnya.

Pada pameran itu, STB akan membuka pavilion di Dewan 4 WTC dengan 12 gerai pameran iaitu pavilion negeri terbesar pada Pameran MATTA yang akan berlangsung selama dua hari.

Sementara itu, Kok Liang berkata, ini merupakan kali ketiga Sabah menyertai MATTA Fair dan beliau percaya promosi pelancongan untuk negeri ini akan mendapat sambutan sepanjang pameran.

“Matta menyasarkan untuk menerima 20,000 pengunjung ke pameran itu dan menjana RM25 juta jualan domestik.

“Sebanyak 80 peratus gerai pameran  telah dipenuhi dan kami berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk memanfaatkan pakej pelancongan yang turut ditawarkan oleh negeri lain,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya