HomeUtamaSTB & SICC Sedia Jalin Kerjasama Promosi Pusat Konvensyen

STB & SICC Sedia Jalin Kerjasama Promosi Pusat Konvensyen

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedia bekerjasama untuk memasarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan lebih efektif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, ia termasuklah membantu mempromosikan SICC sebagai sebuah lokasi persidangan pada ekspo pelancongan dunia akan datang di Dubai bulan depan.

“Kita harus mula merancang secara strategik. Malah, kita ada rancangan untuk mengadakan persidangan pelancongan luar bandar antarabangsa.

“Memandangkan Sabah adalah perintis untuk pelancongan berasaskan komuniti luar bandar, kita boleh memanfaatkannya dan mengadakan persidangan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan perwakilan SICC yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Rosmawati Lasuki disini semalam.

Kunjungan itu adalah bagi membincangkan bagaimana kerjasama dapat dihasilkan menerusi perancangan strategik bagi menarik aktiviti persidangan dan ekspo ke Sabah.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, inisiatif kerjasama antara dua pihak perlu kerana STB dan SICC saling melengkapi.

“Justeru, kita boleh mula memikirkan acara-acara yang boleh kita anjurkan agar dapat membawa lebih banyak persidangan dan expo ke negeri ini dan seterusnya mempromosikan pusat konvensyen SICC. Inisiatif ini harus bermula dari kita,” katanya.

Katanya, SICC mempunyai kelebihan dalam mempromosikan lokasinya sebagai tempat persidangan dan expo selain perhimpunan sosial seperti majlis perkahwinan.

“Ini kerana rekabentuk bangunannya yang unik serta lokasinya yang strategik menghadap laut dan berhampiran dengan pusat bandar,” katanya.

Dalam pada itu, pertemuan itu turut membincangan keperluan bagi menubuhkan Biro Konvensyen Negeri dengan matlamat untuk memasarkan Sabah sebagai destinasi untuk mesyuarat, persidangan dan acara perniagaan, antara lain.

RELATED ARTICLES
Utama

JUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular