COVID-19 : Sabah Terus Rekod Trend Peningkatan Kes Jangkitan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 terus merekodkan trend peningkatan di Sabah hari ini dengan pertambahan sebanyak 6 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 579 kes .

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak enam daerah mencatatkan peningkatan yang tinggi pada hari ini.

“Antara daerah yang yang mencatatkan peningkatan agak tinggi ialah Penampang +20 kes, Tambunan +17 kes, Tawau +14 kes, Sipitang +13 kes, Kota Belud +12 kes dan Tenom +10 kes.

“Daerah yang mencatatkan penurunan signifikan pula ialah Kota Kinabalu -31 kes, Beaufort -16 kes, Putatan -15 kes dan Kuala Penyu -10 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, secara ringkasan, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes, 12 daerah lagi  mencatatkan penurunan kes manakala tiga daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Katanya, sebanyak 22 daerah mencatatkan kes dibawah paras 40 kes dan lima daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes dengan Kota Kinabalu kekal sebagai daerah dengan kes terbanyak iaitu sebanyak 54 kes.

“Kes berpunca daripada saringan bergejala yang sinonim dengan jangkitan secara sporadik adalah tinggi, dan hari ini 228 kes atau 39.4 peratus.

“Kes-kes ini seringkali dikaitkan dengan kegagalan individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes jangkitan yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu menampakkan pertambahan berbanding sebelumnya.

Katanya, analisis data harian menunjukkan 358 kes atau 61.8 peratus adalah kes-kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

“Selebihnya (37.65 peratus) merupakan kes-kes yang didaftarkan antara dua hingga lima hari setelah keputusan ujian saringan diperolehi termasuk tiga kes daftar lewat melebihi lima hari.

“Jumlah pesakit dalam kategori serius yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah. Hari ini cuma ada seorang pesakit dalam Kategori 3, lima pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.

“Sejumlah 567 kes atau 97.93 peratus daripada 579 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 (76) dan Kategori 2 (491). JKNS masih membuat siasatan lanjut ke atas 5 kes,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *