HomeUtamaMAFI Bangunkan Lembah Tenusu LMS

MAFI Bangunkan Lembah Tenusu LMS

Read Time:3 Minute, 16 Second

PERAK : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang membangunkan Lembah Tenusu Larut, Matang dan Selama (LMS).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia akan dibangunkan di kawasan seluas 1200 ekar di Pondok Tanjung, Taiping yang bakal menjadi hub pengeluaran susu terbesar di Taiping, Perak.

Katanya, sebaik Lembah Tenusu LMS ini mula beroperasi sepenuhnya, ia dijangka berupaya mengeluarkan sehingga 13 juta liter susu segar yang menyumbang antara 19 hingga 20 peratus pengeluaran susu segar negara menjelang tahun 2025.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian dan Pecah Tanah, Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) Pondok Tanjung yang akan membangunkan sembilan unit kandang tenusu moden dan kawasan tanaman rumput seluas 400 ekar.

TKPR Pondok Tanjung merupakan antara komponen utama dalam Projek Pembangunan Lembah Tenusu LMS.

Menurut Dr Ronald, Projek Pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ini dengan peruntukan sebanyak RM 25 juta ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 dan akan diusahakan sendiri oleh sembilan penternak lembu tenusu dalam kalangan rakyat negeri Perak.

“Dalam konsep pembangunan Lembah Tenusu LMS, sembilan penternak tenusu tersebut akan menjadi vendor kepada ladang tenusu komersil yang dibangunkan oleh sebuah syarikat penternakan lembu tenusu terbesar negara yang akan berperanan sebagai anchor dilengkapi dengan kilang pemprosessan susu di kawasan Pondok Tanjung.

“Pembangunan Lembah Tenusu LMS di Pondok Tanjung juga akan membuka dimensi baru di Taiping yang selama ini terkenal dengan nilai sejarah dan pelancongan.

“Sekaligus ia dapat merancakkan ekonomi penduduk setempat yang dijangka dapat menyediakan 300 peluang pekerjaan baharu di ladang ternakan tenusu dan kilang pemprosesan susu. Inisiatif ini selaras dengan asprasi ‘Keluarga Malaysia’ yang digagaskan oleh Kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan Lembah Tenusu LMS adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara yang digariskan oleh DVS, selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) ke arah meningkatkan pengeluaran susu segar kepada Tahap Sara Diri (SSL) 100 peratus pada tahun 2025 bagi mengurangkan kebergantungan import.

Untuk rekod, penggunaan susu segar di Malaysia bagi tahun 2020 berjumlah 69.4 juta liter. Daripada jumlah tersebut, 43.3 juta liter dihasilkan dalam negara sementara bakinya 26.1 juta liter diimport daripada negara-negara luar seperti Australia, New Zealand dan lain-lain negara. SSL susu segar dalam negara pada masa kini adalah sebanyak 62.4% dengan nilai di ladang RM 108.23 juta.

Dalam majlis yang sama, Dr Ronald turut menyampaikan bantuan bakul makanan MAFI Prihatin dan Geran Pertanian Organik (Penternakan).

Sebanyak 200 bakul makanan diagihkan kepada penternak yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dari 9 Daerah di negeri Perak. Manakala, Geran Pertanian Organik (Penternakan) yang bernilai RM400,000 pula diagihkan kepada 8 komuniti penternak organik yang melibatkan 32 orang peserta dimana setiap komuniti akan menerima menerima RM50,000 untuk Projek Ayam Piru Organik, Projek Arnab Organik dan Projek Ayam Kampung Organik.

Dalam pada itu, YB Menteri MAFI juga telah melawat Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh yang merupakan sebuah institusi penyelidikan di bawah DVS, MAFI.

VRI berfungsi menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit haiwan serta menjalankan diagnostik penyakit zoonotik haiwan seperti selsema burung (HPAI) Highly Pathogenic Avian Influenza), Nipah virus, Japanese Encephalitis (JE), Anthrax, Tuberculosis (TB), Rabies serta penyakit haiwan berkepentingan ekonomi seperti penyakit Hawar Berdarah (HS), Salmonellosis dan Selesema babi (Swine Influenza). VRI telah diiktiraf sebagai makmal rujukan bagi rantau ASEAN dan peringkat kebangsaan bagi tujuh (7) makmal veterinar (termasuk Sabah dan Sarawak).

VRI juga menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit zoonotik haiwan menerusi jaringan kerjasama penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam membangunkan nyahaktif vaksin COVID-19 tempatan.

Menerusi peruntukan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), VRI akan terus menjalankan penyelidikan dalam membangunkan teknologi-teknologi diagnostik sejajar dengan perkembangan teknologi terkini mengikut piawaian antarabangsa.

Turut hadir YB Tuan Haji Razman bin Zakaria, ADUN Semanggol merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, YB Tuan Mohd Akmal bin Kamaruddin, ADUN Selama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan YBhg. Dato’ Dr. Norlizan bin Mohd Noor, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.

RELATED ARTICLES
Utama

Australia perkukuh hubungan kerjasama dengan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya