Tabung Haji Serah RM2,104,543.47 Zakat Perniagaan Kepada MUIS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM2,104,543.47 bagi tahun kewangan 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said menyerahkan pembayaran zakat itu kepada Timbalan Pengerusi MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad.

Bayaran zakat TH bagi negeri Sabah mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 berjumlah RM1,774,247.05.

Menurut Nurlaila, saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio- ekonomi ummah, bagi manfaat khususnya golongan asnaf di Sabah.

Dalam taklimat ringkasnya kepada Hajiji, Nurlaila berkata, TH telah menyerahkan sumbangan van menerusi Program Mobiliti yang julung-julung kalinya di negeri Sabah.

“Sepanjang tahun 2020,TH terus memperkasakan lagi aspek kebertanggungjawabannya dengan pelaksanaan pelbagai program zakat bersasar, khususnya kepada golongan yang memerlukan melalui pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.

Program-program tanggungjawab sosial korporat TH memberi impak positif kepada golongan asnaf”, katanya.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali serta Pengarah TH Negeri Sabah, Yusdi Nasip.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *