KOTA KINABALU: Kejohanan bola sepak Piala Sabah bagi merebut piala Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bakal diadakan Januari depan.
Pertandingan itu sebelum ini dikenali sebagai Piala Ketua Menteri (KM) namun bermula tahun depan ia mula dikenali sebagai Piala Sabah.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA di pejabat persatuan itu, disini hari ini.
Katanya, jawatankuasa tersebut telah membuat keputusan untuk mengubah nama kejohanan itu supaya ia dikenali sebagai Piala Sabah.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan, berkata kejohanan itu akan disertai lapan zon sahaja terdiri dari Zon Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Pedalaman Atas dan Zon Tengah.
“Setiap zon terbabit akan menyediakan pasukan terbaik dengan memilih pemain-pemain dari daerah-daerah di zon masing-masing,” katanya.
Menurut Azman, persiapan untuk menganjurkan kejohanan itu akan dilakukan sebaik sahaja Kejohanan SAFA Piala BMR B18 selesaikan dalam bulan ini.
Beliau memberitahu, kejohanan Piala Sabah merupakan satu kejohanan yang penting dikendalikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA dan ia juga salah satu pertandingan yang termasuk dalam kalendar penganjuran badan bola sepak itu.
Mengenai grand final Kejohanan SAFA Piala BMR pada 26-28 November ini, upacara perasmian akan disempurnakan oleh Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin sendiri di Stadium Likas pada 27 November ini.
Katanya, kesemua lapan zon yang bertanding di peringkat akhir sudah melakukan persiapan masing-masing dan berharap pegawai dan pemain-pemain mereka akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, yang sudah pun diberi penerangan kepada pengurusan pasukan mereka.
“Kita mahu kejohanan ini berjalan dengan baik dan lancar bagi membolehkan panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dapat mengenal pasti pemain-pemain muda berbakat sepanjang kejohanan itu.
“Ini adalah matlamat utama kita untuk mencungkil bakat-bakat muda untuk diserapkan dalam pasukan Piala Belia Sabah selain untuk memenuhi misi dan hala tuju Presiden SAFA untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah,” katanya.
Beliau menambah, selain daripada Piala BMR 2021, Piala Sabah tahun depan, SAFA juga dijangka menganjurkan kejohanan Piala SAFA, kejohanan antara kelab-kelab dan kejohanan bola sepak wanita selepas ini.