HomeUtamaKerajaan Sabah Akan Wujudkan 'Bandar Pintar' Di Kawasan Tumpuan

Kerajaan Sabah Akan Wujudkan ‘Bandar Pintar’ Di Kawasan Tumpuan

Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Selaras dengan teras utama ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, kerajaan negeri akan mewujudkan Bandar Pintar atau “Smart City” di beberapa kawasan tumpuan, yang akan dipacu oleh pelan strategik Kerajaan Digital.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan bandar-bandar pintar itu bagi mewujudkan eko-sistem ekonomi digital dan pembudayaan digital dalam meningkatkan kualiti hidup yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Hajiji (dua dari kiri) dan Mohd.Arifin (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan Sumbangan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) Korporat daripada Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Felix Liangson (dua dari kanan) kepada Pengerusi PBNS, Haji Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar – Foto Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

“Strategi yang digariskan di bawah teras ini meliputi usaha membina dan menambah baik jaringan infrastruktur darat, laut, udara dan infrastruktur komunikasi; melaksanakan pendigitalan perkhidmatan; serta meningkatkan akses dan kesamarataan dalam menikmati kemudahan infrastruktur”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Aplikasi E-Jariah Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji (dua dari kiri) dan Mohd.Arifin (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan Sumbangan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) Korporat daripada Pengurus Felda Cawangan Kota Kinabalu, Mustakip Lieasni (dua dari kanan) kepada Pengerusi PBNS, Haji Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar.Foto Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah

Hajiji berkata, sejajar dengan pembudayaan digital, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) melakar sejarah baharu membangunkan aplikasi PBNS yang pertama dikenali sebagai E-Jariah Sabah, menerusi kerjasama dengan TM One iaitu cabang perniagaan Telekom Malaysia Berhad.

Menurutnya, aplikasi itu akan memudahkan orang ramai termasuk mereka yang bekerja sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, syarikat atau perseorangan, membuat sumbangan jariah atau sedekah hanya melalui telefon pintar.

“Ia bukan saja mudah dan pantas, malah lebih selamat tanpa perlu bersemuka, dalam keadaan pandemik ketika ini”, katanya.

Katanya, kerajaan negeri berbesar hati dengan komitmen PBNS yang mempelbagaikan aktiviti kutipan sumbangan mereka melalui kaedah yang mudah dan bersesuaian dengan peredaran terkini.

“Saya percaya dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan orang Islam secara keseluruhannya terutama yang bekerja menggunakan kaedah ini dengan membuat potongan gaji secara bulanan dan mengikut kemampuan masing–masing kepada PBNS.

“Secara tidak langsung ini akan dapat membantu Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah melaksanakan aktiviti agihan mereka yang akan memberikan manfaat kepada golongan sasar dan memerlukan di negeri ini”, tegasnya.

Hajiji berharap orang awam dapat memanfaatkan aplikasi E-Jariah dengan sepenuhnya kerana ia akan memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan walau di mana sahaja berada.

Menurutnya, penggunaan teknologi digital begitu meluas pada hari ini dan secara tidak langsung telah mengubah cara hidup masyarakat.

“Penularan pandemik COVID-19 telah menuntut kita untuk hidup dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekali gus penggunaan aplikasi digital menjadi alternatif baharu dalam memenuhi keperluan seharian kita.

“Peranan dan penggunaan teknologi digital telah mengambil alih dan membantu menyelesaikan urusan seharian kita dengan selamat, mudah dan pantas, iaitu dengan menggunakan pelbagai aplikasi yang dibangunkan pada hari ini, yang boleh diakses hanya melalui telefon mudah alih dan peranti elektronik yang lain”, tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat terapung ditemui di sungai Kg Iban Merotai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular