COVID-19: 66.8 Peratus Pesakit Adalah Yang Lengkap Vaksin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU : Statistik jangkitan kes COVID-19  di Sabah hari ini menunjukkan 66.8 peratus pesakit adalah mereka yang telah melengkapkan pengambilan vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, angka yang tinggi itu dilihat membimbangkan dan mencerminkan sikap alpa dan tidak peduli individu yang lengkap divaksin untuk mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Mereka mungkin berandaian mereka sudah kebal daripada jangkitan virus setelah melengkapkan pengambilan vaksin.

“Hakikatnya mereka tidak kebal daripada jangkitan. Vaksin COVID-19 adalah sekadar melindungi pesakit daripada kesan serius jangkitan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, ini terbukti dengan 98 peratus kes hari ini hanyalah pesakit-pesakit dalam kategori 1 dan  kategori 2 yang tidak memerlukan rawatan di hospital.

Katanya, rakyat terus diingatkan tidak kira dalam apapun kategori, seorang pesakit tetap menjadi pembawa virus dan boleh menjangkiti ahli-ahli keluaraga lain di rumah.

“Seperti yang dinyatakan diatas hampir 98 peratus kes-kes jangkitan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau PKRC.

“Hanya lapan kes yang dianggap serius dan memerlukan rawatan di hospital termasuk rawatan rapi, yakni empat orang dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori 4 dan seorang sahaja dalam Kategori 5.

“Sebanyak lima kes lagi masih dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),”katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, kebanyakan daerah mencatat penurunan kes baharu hari ini kecuali beberapa daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom yang mendaftar pertambahan yang agak tinggi.

Katanya, cuma Kota Kinabalu dan Tuaran mencatatkan kes-kes jangkitan diatas paras angka 50.

“Jumlah kes baharu bagi Sabah hari ini ialah 497, penurunan 114 kes berbanding angka semalam.

“Kes-kes jangkitan secara sporadik kekal tinggi, yakni 36.2 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Katanya, kes-kes yang berlaku secara sporadik dikesan apabila pesakit mengalami gejala-gejala jangkitan virus COVID-19 dan seterusnya menjalani saringan kesihatan.

Menurutnya, kes-kes saringan bergejala ini sukar menentukan ‘kes indeks’ mahupun  tempat dimana jangkitan berlaku.

“Yang pasti ialah jangkitan berlaku kerana kelalian mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal atau penggunaan pelitup muka.

“Seperti yang seringkali diperingatkan, pengambilan vaksin tidak memberi kita perlindungan 100 peratus daripada jangkitan. Ia sekadar melindungi badan kita daripada mengalami kesan-kesan jangkitan yang serius yang memerlukan rawatan di hospital dan penjagaan rapi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *