COVID-19: Sabah Rekod Penurunan Kes Jangkitan

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan penurunan kes jangkitan kes COVID-19 sebanyak 13 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 487 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun berlaku penurunan angka secara keseluruhan namun bilangan daerah yang mencatatkan peningkatan melebihi jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes.

“Sebanyak 15 daerah mencatatkan peningkatan kes dan 10 daerah mencatatkan penurunan, manakala dua daerah lagi mencatatkan jumlah kes yang sama sebagaimana semalam.

“Daerah-daerah yang mencatatkan penurunan ketara ialah Kota Kinabalu -43 kes, Ranau -23 kes, Kota Belud -14 kes, Kuala Penyu -12 kes, Tuaran -11 kes dan Tenom -11 kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, daerah yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Kota Marudu +18 kes, Beaufort +16 kes, Putatan +11 kes, Beluran +10 kes dan Pitas +10 kes.

Katanya, sebanyak 320 kes atau 65.71 peratus daripada kes yang direkodkan pada hari ini adalah kes-kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Selebihnya adalah kes-kes yang berlaku lebih awal tetapi didaftar lewat antara dua  hingga lima hari selepas keputusan diketahui.

“Terdapat  dua  kes lewat daftar enam  hari dan satu  kes melebihi 12 hari,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes-kes yang berpunca daripada saringan bergejala atau kes-kes sporadik adalah tinggi pada hari ini iaitu sebanyak 195 kes atau 40.04 peratus.

Katanya, kes-kes ini biasanya berpunca daripada kegagalan individu mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Sebanyak 98.2 peratus daripada kes-kes hari ini adalah kes-kes yang dianggap ringan, iaitu dalam kategori 1 dan kategori 2 yang mana pesakit-pesakit tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Pesakit dalam kategori 3 cuma dua orang, seorang dalam kategori 4 dan tidak ada pesakit dalam kategori 5 manakala enam kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *