Kerajaan Negeri Berusaha Beri Yang Terbaik Untuk Rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada semua rakyat di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata, ia termasuklah menyelesaikan segala permasalahan yang timbul berkaitan tanah dan hak rakyat.

“Berkaitan masalah tanah di Kuala Pintasan yang dipertikaikan, untuk pengetahuan semua pihak, tanah tersebut merupakan tanah yang mempunyai geran dan geran itu telah dikeluarkan dan didaftarkan sejak 19 Mac 1991.

“Tujuan geran tanah tersebut adalah untuk mewujudkan ekosistem bagi tujuan pembangunan akuakultur yang mana pada asalnya tanah geran itu dikeluarkan atas nama Aquabio (Sabah) SB dan kemudiannya dibeli oleh syarikat QL Aquamarine pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Beberapa hari lalu, sebuah portal berita telah melaporkan tentang masalah pemilikan tanah tersebut yang mana terdapat bantahan dan perhimpunan oleh kumpulan individu yang menggesa Yang di-Pertua Negeri dan  Ketua Menteri untuk menyelesaikan masalah itu.

Fairuz berkata, tidak terdapat isu seperti yang dinyatakan berikutan pertemuan telah dibuat beberapa kali dengan wakil kumpulan yang membuat perhimpunan.

“Namun mungkin terdapat masalah atau pertindihan maklumat yang tidak sampai kepada mereka dan mereka menganggap bahawa mereka adalah pemilik tanah tersebut.

“Untuk pengetahuan juga, kelmarin (15 Nov 2021) pihak saya yang mana melibatkan Pegawai Daerah Kota Belud iaitu Puan Dayanah Abdullah sudah bertemu dan bermesyuarat dengan wakil kumpulan perhimpunan.

“Hasil dari pertemuan itu, kita telah mencapai kata putus bahawa tidak akan ada halangan bagi mereka untuk mengambil tindakan bantahan kepada projek tersebut, namun ia mesti dibuat berlandaskan kepada undang-undang,” katanya.

Katanya, pihak Pegawai Daerah juga turut menasihatkan agar tidak mengadakan perhimpunan kerana ia mampu membawa kepada persepsi negative pihak luar kepada penduduk di Kota Belud.

“Keadaan semasa seperti sekarang adalah amat memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama memulihkan kembali ekonomi dan syukur kerana nampaknya usaha perbincangan itu membawa hasil yang positif,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *