HomeIsu tempatanKonfrontasi Bukan Pendekatan Untuk Penuhi Permintaan Sabah & Sarawak

Konfrontasi Bukan Pendekatan Untuk Penuhi Permintaan Sabah & Sarawak

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Ketika membangkitkan isu ‘penjajahan Putrajaya’ pada persidangan Parlimen Isnin lalu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bercakap melalui pengalaman untuk mengelak penggunaan pendekatan konfrontasi bagi membincangkan perihal berkaitan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah Christoper Mandut berkata kelantangan Presiden PBS, yang mempunyai pengalaman enam penggal sebagai ahli parlimen, juga menjadikan beliau calon terbaik untuk mengetuai portfolio baharu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau pernah membangkitkan isu berkaitan kekurangan pembangunan di Sabah ketika PBS menjadi pembangkang, dan pandangan beliau kekal konsisten sehingga hari ini. Beliau telah bekerja keras memastikan hak dan tuntutan Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dipenuhi.

“Secara amnya, beliau telah memperjuangkan hak kita, tidak kira sebagai pembangkang ataupun sebaliknya. Pengalaman luas telah mengajar beliau bahawa pendekatan konfrontasi tidak semestinya membuahkan hasil. Suasana yang kondusif adalah penting.

“Presiden PBS percaya bahawa tuntutan kita akan dipenuhi melalui kerjasama semua pihak,” kata Christoper.

Netizen telah melabel Maximus sebagai pro-Putrajaya dan pengkhianat berikutan kenyataan beliau baru-baru ini kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman dan Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan untuk tidak mempolitikkan isu pembangunan Sabah dan Sarawak sehingga menjejaskan keamanan negara.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu turut menasihatkan Azis agar mengelak daripada menggunakan perkataan ‘jajah’, kerana ia boleh disalah anggap sebagai mencetuskan sentimen dan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

Menurut Maximus, sekiranya perkara itu wujud, Azis harus menyokong dakwaan tersebut dengan bukti.

“Saya bersetuju dengan Presiden PBS bahawa setiap aduan perlu dibawa kepada perhatian kerajaan dengan mengemukakan laporan dan bukti kepada pejabat Ketua Menteri untuk dibentangkan semasa mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63).

“Majlis tersebut adalah platform terbaik kerana ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, dan dianggotai kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, serta lapan menteri kanan. Sudah semestinya, sebarang ketidakpatuhan yang dibangkitkan akan dibincangkan supaya penyelesaian yang sewajarnya dapat dibuat,” kata Christoper.

Perjuangan politik PBS, tambah Christoper, adalah melalui pendekatan perpaduan-kesatuan dalam memperjuangkan hak, keistimewaan negeri dan terus berpegang teguh kepada tuntutan undang-undang, seperti yang termaktub dalam MA63.

“PBS memihak kepada perjuangan Sabah sebenar yang membawa kemajuan, pembangunan ketara dan keamanan untuk rakyat kita. PBS tidak memihak kepada revolusi tanpa tujuan ataupun permainan politik untuk kepentingan politik yang tidak berfaedah,” tegas Christoper.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya