Kerjasama Syarikat Kerajaan, Swasta Penting Bagi Kesejahteraan Kanak-Kanak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama berterusan daripada syarikat kerajaan dan swasta adalah penting dalam menjaga kesejahteraan golongan kanak-kanak di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, ia sekaligus memberi rangsangan terbaik kepada pihak kerajaan untuk mendokong perkembangan kanak-kanak, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga rentan.

“Pihak kementerian melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menyokong perkembangan kanak-kanak dengan memberi bantuan berbentuk pakej  makanan berzat  kepada kanak-kanak seperti susu, milo, dan keperluan seperti lampin pakai buang.

“Bantuan ini akan diberikan untuk tempoh 3 bulan kepada kanak-kanak yang layak menerima bantuan ini.

“Saya menyeru jasa baik syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan korporat untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan kelangsungan program ini bagi memastikan usaha baik ini memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebajikan 2021 dan merasmikan Program Kasih dan Kongsi di Dewan Rumah MPMS, Kota Kinabalu, disini hari ini.

Hadir sama, Pembantu-Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki dan Flovia Ng serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah, Jais Asri.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan pihak Syarikat MBSB Bank Berhad telah tampil memberikan sumbangan RM100,000 kepada MPMS untuk membantu menjayakan program tersebut.

Program Kasih dan Kongsi anjuran MPMS  merupakan program bantuan bakul makanan kepada kanak-kanak dari keluarga rentan. Setakat ini program ini dilaksanakan di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Shahelmey berkata, tema tersebut diangkat oleh MPMS pada tahun ini iaitu Pemulihan Pandemik Covid-19: Inovasi Digital dalam Perkhidmatan Sosial amat relevan dan mengorak langkah untuk mengatasi cabaran pandemik tersebut.

Tambah beliau, ia sekaligus menambah baik sistem perkhidmatan sukarela kebajikan dan pihaknya turut menggesa pertubuhan sukarela kebajikan seperti MPMS untuk mengubah cara kerja dan penyampaian sosial dengan menggunakan teknologi digital.

“Malah, semua pihak diminta memanfaatkan penerokaan pendekatan inovatif dalam pengurusan dan operasi agar masyarakat yang dibela dan pengguna perkhidmatan boleh terus menerima sokongan diperlukan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *