COVID-19 : 16 Daerah Catat Peningkatan Kes, KK Penyumbang Terbesar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 16 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dimana enam daripadanya merekodkan pertambahan dua angka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hanya sembilan daerah mencatatkan penurunan kes jangkitan.

“Selepas susut beberapa hari, kes-kes baharu kembali meningkat secara mendadak hari ini dengan petambahan  sebanyak 112 kes berbanding semalam menjadikan kes hari ini berjumlah 599 kes.

“Daerah Kota Kinabalu kembali menjadi penyumbang terbesar kes di negeri Sabah dengan 101 kes, 45 kes lebih tinggi daripada semalam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, daerah Tuaran juga mencatatkan kes yang tinggi iaitu 95 kes menambah 36 kes berbanding jumlah sebelumnya.

Katanya, beberapa daerah mencatatkan jumlah kes daftar lewat yang agak tinggi.

“Di Kota Kinabalu, 89 daripada 101 kes hari ini adalah kes-kes yang didaftar dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui; di Kota Belud, 28 daripada 53 kes dan di Penampang, 27 daripada 35 kes.

“Sebanyak 372 kes atau 62 peratus daripada kes yang direkodkan pada hari ini adalah kes-kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.

Katanya, selebihnya adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih lama selepas keputusan ujian diketahui.

“Hampir 98 peratus daripada kes-kes hari ini adalah kes-kes yang dianggap ringan, iaitu dalam kategori 1 dan kategori 2.

“Pesakit dalam kategori 3 cuma tiga orang, empat orang dalam kategori 4 dan seorang pesakit dalam kategori 5 manakala lima kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *