Mohamaddin Kekal ADUN Segama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama meskipun telah mengumumkan meninggalkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) 30 Oktober lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M.Yahya berkata, pihaknya telah menerima beberapa surat dan dokumen melalui email daripada ADUN Segama.

“Untuk makluman semua, pada 30 Oktober yang lalu, saya telah menerima surat dan dokumen bagi membatalkan segala ‘Aku Janji’ yang beliau (Mohamaddin) tandatangani dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang dihantar melalui email kerana pada ketika itu saya berada di Kuala Lumpur.

“Pada 1 November pula, pejabat saya telah menerima surat dari sebuah firma guaman yang mengaku bertindak bagi pihak beliau yang mana kandungan surat itu mengatakan perletakan jawatannya sebagai ADUN Segama,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di DUN Sabah disini hari ini.

Kadzim berkata, pihaknya sekali lagi menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin pada 2 November bagi menafikan dakwaan perletakkan jawatan sebagai ADUN.

“Pada keesokan harinya, pejabat saya menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan ada menandatangani surat perletakan jawatan yang dikemukakan pada 30 Oktober.

“Beliau juga menafikan telah melantik firma guaman bagi pihaknya,” katanya.

Berikutan itu, Kadzim berkata, beliau telah bertemu Mohamaddin secara  bersemuka semalam bagi menemubual berhubung perkara itu.

“Dalam temubual itu, beliau telah mengatakan bahawa tidak pernah menandatangani surat perletakan jawatan pada 30 Oktober lalu.

“Ingin saya tegaskan, berasaskan undang-undang yang ada sebelum ini, surat perletakan jawatan tanpa tarikh adalah tidak sah, jadi beliau kekal sebagai ADUN Segama,” katanya.

Mohamaddin adalah ADUN ketiga Warisan yang keluar parti itu selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *