HomeIsu tempatanFPT Terajui Kempen Tanam 100 Juta Pokok Sempena Program Penghijauan Malaysia Peringkat...

FPT Terajui Kempen Tanam 100 Juta Pokok Sempena Program Penghijauan Malaysia Peringkat UMS

Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi perintis terhadap usaha menjayakan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat UMS.

Usaha tersebut dijayakan menerusi satu acara penanaman pokok yang berlangsung di perkarangan bangunan FPT UMS.

Dekan FPT, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie berkata, menerusi kempen tersebut, UMS menyokong usaha kerajaan negeri Sabah yang menyasarkan setiap kakitangan dan pelajar UMS termasuk UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan UMS Kampus Sandakan untuk menanam sebanyak satu pokok pada tahun ini, dan seterusnya dua pokok setiap tahun sehingga tahun 2025.

“Akhirnya, pada tahun 2025, pokok yang ditanam berjumlah 200 ribu, dan penanaman tidak hanya berlaku di dalam UMS malah juga melibatkan kawasan lain.

“Beberapa aktiviti juga telah dirancang bagi menjayakan kempen ini antaranya pertandingan penanaman pokok terbanyak di Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) di UMS, seminar berkenaan penanaman dan penjagaan pokok dan aktiviti keusahawanan pelajar UMS iaitu melalui pembelian t-shirt dan penanaman satu anak pokok.

“Program kempen penanaman pokok di FPT ini merupakan aktiviti julung kalinya di peringkat fakulti bagi menyemarakkan semangat dan kesedaran pentingnya penanaman pokok serta menyokong penghijauan Malaysia, dan diharap JAFPIB lain boleh menganjurkan majlis yang sama,” katanya ketika berucap sempena program tersebut.

Normah turut memaklumkan pada kempen tersebut FPT mensasarkan penanaman 150 pokok spesis Avocado, Selangan Batu, Pulai dan Urat Mata.

“Bagi kempen ini juga UMS mendapat kerjasama erat bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) yang telah menyumbangkan 1,500 anak pokok dan 300 t-shirt untuk peserta, dan UMS amat menghargai sumbangan dan kerjasama erat bersama JPS dan rakan strategik FPT UMS yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Inovasi JPS, Karim Hj Abdul Samad ketika ditemui media berkata, JPS merupakan urusetia bagi kempen ini di peringkat negeri, dan pada tahun ini telah mencapai penanaman 4.5 juta pokok daripada 5.5 juta pokok yang disasarkan.

Kataya JPS optimis untuk mencapai sasaran tersebut menjelang akhir tahun ini, dan menyokong penglibatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menjayakan kempen tersebut.

“Penglibatan pelajar IPT khususnya FPT UMS sangat perlu kerana pelajar-pelajar FPT sangat bermaklumat tentang keperluan penanaman pokok, dan tanpa penglibatan mereka masyarakat akan menanam pokok dengan satu tanda tanya tentang keperluannya.

“Objektif lebih besar kempen ini adalah untuk melibatkan masyarakat mempersiapkan diri memperbaiki kerosakan-kerosakan alam sekitar yang berlaku sebelum ini akibat daripada aktiviti pembalakan konvensional yang berlaku 20 hingga 30 tahun dahulu, serta akibat bencana alam seperti kebakaran dan seumpamanya,” katanya.

Karim menambah, dengan kerjasama FPT UMS dapat mempercepatkan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa penanaman pokok adalah satu tanggungjawab bersama untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dan kestabilan industri berasaskan kayu balak berterusan pada masa yang panjang.

“Dengan itu, golongan belia di negeri ini khususnya tidak perlu berhijrah ke negeri lain misalnya untuk mendapatkan pekerjaan,” ujar beliau.

Turut sama menjayakan aktiviti penanaman pokok pada program tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim, serta wakil kakitangan dari JPS dan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular