HomeUtamaPengusaha Industri Pelancongan Puji Keputusan Kerajaan Negeri Longgarkan Syarat Masuk Ke Sabah

Pengusaha Industri Pelancongan Puji Keputusan Kerajaan Negeri Longgarkan Syarat Masuk Ke Sabah

Read Time:2 Minute, 2 Second

KUALA LUMPUR: Pengusaha industri pelancongan di Sabah memuji keputusan kerajaan negeri membenarkan pelawat yang telah lengkap divaksin berkunjung ke negeri itu tanpa menjalani ujian calitan.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata, pengumuman itu dilihat tepat pada waktunya bagi memberi semangat kepada pengusaha pelancongan bagi memasarkan Sabah sebagai pilihan destinasi percutian.

“Pastinya pengembara perniagaan dan pelancongan pasti mengalu-alukan perkembangan ini.  Ia sangat baik untuk pelancongan dan akan dapat mewujudkan kesan ‘spin-off’ ekonomi dengan sektor perhotelan, sektor pengangkutan dan restoran juga turut dipenuhi.

“Ketua Menteri Sabah sangat proaktif, dan beliau melihat keperluan untuk menggerakkan industri pelancongan dan meningkatkan kedatangan pelancong,” katanya ketika ditemui pada pameran MATTA ke-49 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Sabah akan membenarkan pengunjung yang lengkap divaksin untuk memasuki Sabah tanpa perlu menjalani ujian calitan mulai 1 Disember depan.

Hajiji berkata, Sabah bersedia sepenuhnya untuk mengalu-alukan ketibaan pelancong asing apabila Malaysia membuka semula sempadannya tahun depan.

Kok Liang berkata, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, industri pelancongan berharap lebih banyak Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dilaksanakan dengan negara lain untuk mengalu-alukan kemasukan pelancong asing

“Negara Singapura sudah mempunyai pengaturan VTL dengan 15 negara dan akan menambah enam negara lagi (termasuk negara dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Utara) dalam senarai menjelang 6 Disember 2021.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk segera mewujudkan lebih banyak VTL atau Gelembung Pelancongan untuk menarik permintaan, terutamanya ketika musim cuti akan datang.

“Selain Langkawi, destinasi pelancongan popular lain, seperti Kota Kinabalu dan Pulau Pinang, tidak boleh diabaikan selain,” katanya.

Hari pertama pameran MATTA menyaksikan orang ramai berpusu-pusu ke WTC bagi meninjau dan mendapatkan maklumat tentang promosi pelancongan yang ditawarkan oleh 255 gerai pameran.

Sabah mempunyai 12 gerai pameran, di mana Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan pempamernya akan mempromosi serta memasarkan pelbagai jenis tawaran pelancongan yang menarik di negeri ini.

Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk mengambil peluang daripada MATTA Fair untuk menerokai Sabah berikutan syarat menjalani ujian calitan bakal dilonggarkan.

“Kami sedia maklum bahawa keperluan ‘swab test’ telah menjadi penghalang kepada individu khususnya mereka yang melancong bersama keluarga yang ingin melawat Sabah.

“Perjalanan rentas negeri ke Sabah kini telah dipermudahkan. Inilah masa untuk semua orang memanfaatkan peluang ini untuk mula merancang percutian ke Negeri di Bawah Bayu, di mana banyak pengembaraan sentiasa menanti para pengunjung,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular