COVID-19 : Kluster Libatkan Institusi Keselamatan Direkodkan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu melibatkan Institusi Keselamatan yang menjadi antara punca kes jangkitan COVID-19 di daerah Kota Kinabalu naik mendadak hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster yang dinamakan sebagai Kluster Lautan Biru Pantai itu turut melibatkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini naik 48 kes menjadikan jumlah kes baharu ialah 485 kes berbanding 437 kes semalam.

“Pertambahan yang agak banyak ini berpunca daripada kenaikan mendadak jumlah kes di Kota Kinabalu daripada 98 kes semalam kepada 161 kes (+63) pada hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, punca utama kenaikan mendadak itu berpuncang daripada Kluster Lautan Biru yang melibatkan anak-anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, jangkitan berlaku semasa operasi dan setakat ini 93 orang disahkan positif.

“Mengikut statistik, cuma tiga kes daripada 161 kes didaftar di Kota Kinabalu sepanjang 24 jam yang lalu, selebihnya merupakan kes-kes daftar lewat dua hari atau lebih lama selepas keputusan saringan diketahui.

“Beberapa daerah lain mencatatkan pertambahan kes harian yang agak ketara seperti Tuaran dan Kota Marudu, tetapi daerah-daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom mencatat jumlah kes harian yang jauh lebih rendah hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes-kes daripada Kluster Lautan Biru (91) dan Kluster Kemburongoh (1) menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah kes di Sabah hari ini.

Katanya, adalah juga diperhatikan peratusan kes-kes saringan kontak rapat dan kes-kes saringan bergejala hampir sama tinggi, 39 peratus bagi saringan kontak dan 36 peratus bagi saringan bergejala.

“Ini satu petanda jelas virus COVID-19 sudah berada secara meluas di tengah-tengah masyarakat dan risiko jangkitan secara sporadik semakin tinggi.

“Sejumlah 469 pesakit atau 97 peratus berada dalam Kategori 1 dan 2, lima orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan tiga pesakit dalam Kategori 5.

“Kes melibatkan enam pesakit masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *