Infrastuktur Asas Pendidikan Jadi Keutamaan Di Parlimen Pensiangan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

PENSIANGAN : Infrastuktur asas bagi tujuan memberi pendidikan yang inklusif dan mampan kepada anak-anak di kawasan Parlimen Pensiangan akan terus diberi keutamaan.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pegangan teguh kepada asas pendidikan sebagai pemacu yang penting dalam membangun dan meningkatkan sosioekonomi sesebuah kawasan.

Katanya, pendidikan akan membolehkan anak-anak Keluarga Malaysia di kawasan ini mengubah masa hadapan ke arah yang lebih baik.

“Antara yang akan diberi keutamaan termasuklah membina 46 menara telekomunikasi yang baru serta menaik taraf 44 menara yang sedia ada termasuk di kawasan kampung yang jauh.

“Selain itu, kita juga akan memberi keutamaan untuk menaik taraf jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan seterusnya ke Pensiangan dan menaik taraf beberapa buah sekolah daif di kawasan Parlimen Pensiangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pensiangan disini semalam.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, antara sekolah yang akan dinaiktarf ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nabawan, Sekolah K9 Pekan Pensiangan, SK Sepulot, SK Ponontomon serta banyak lagi.

“Saya juga ingin melihat anak-anak muda, barisan pelapis pemimpin negara dari kalangan anak pendalaman mempunyai akses kepada pendidikan yang inklusif dan mampan bagi mewujudkan peluang untuk mereka mencipta masa depan yang cerah dan mengubah masa depan mereka dan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut menyeru agar warga PPD Pensiangan berpegang teguh kepada moto ‘Pensiangan Sumingkot’, berganding bahu serta mengeratkan kerjasama bagi memperkasakan pendidikan anak-anak di kawasan Pedalaman Sabah seterusnya meningkatkan kedudukan prestasi PPD Pensiangan daripada tangga 16 ke 10 tangga teratas di peringkat Negeri.

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 63 orang warga pendidik PPD Pensiangan telah diraikan seterusnya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PPD Pensiangan Tahun 2020.

Majlis ini bertujuan meraikan pencapaian cemerlang warga pendidik PPD Pensiangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 bagi memastikan aktiviti pembelajaran tetap dilaksanakan secara Home-based Learning supaya keterlibatan murid dalam pembelajaran kendiri dapat dilaksanakan dari rumah (PdPR).

Kerjasama dan komitmen warga PPD Pensiangan telah melakarkan pencapaian yang membanggakan di peringkat Negeri antaranya Pingat Emas Program Pendidikan Insklusif ( PPI ) Model Holistik (85.40%), Pencapaian Pdpr 70% Fasa 2 Melepasi Sasaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta Anugerah Pejabat Pendidikan Daerah Lulus 100% STPM Tahun 2020.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *