COVID-19 : Kes Jangkitan Terus Mencatat Penurunan

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah terus mencatat penurunan sebanyak 66 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kumulatif harian adalah sebanyak 342 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu merupakan angka terendah sejak 15 Julai yang lalu.

“Daerah Kinabatangan mencatatkan kes jangkitan tertinggi di Sabah dengan catatan sebanyak 85 kes.

“Jumlah yang tinggi ini berpunca daripada Kluster Sawit Mania yang menyumbang 84 kes baharu,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, kes-kes yang melibatkan Kluster Sawit Mania merupakan kes yang berlaku dua hari lalu tetapi baru direkodkan hari ini selepas pengesahan keputusan ujian.

Katanya, sebanyak 20 daerah di Sabah mencatatkan kes satu angka sahaja dengan lima daripadanya mencatatkan sifar kes.

“Enam daerah mencatatkan penurunan signifikan iaitu Kota Kinabalu -29 kes, Ranau -17 kes, Tuaran -16 kes, Beluran -14 kes, Penampang -13 kes dan Kota Belud -10 kes.

“Hanya tiga daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu  termasuk Kinabatangan yang mencatatkan pertambahan yang tinggi daripada Kluster Sawit Mania.

“Empat lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sekitar 98 peratus daripada semua kes di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau di PKRC.

Katanya, dua pesakit dalam Kategori 3, satu pesakit dalam Kategori 4 dan satu pesakit juga dalam Kategori 5 manakala tiga lagi kes masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.