Kerajaan Sabah Terus Salur Bantuan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus menyediakan bantuan kepada keluarga-keluarga di Sabah agar mereka mampu menjalankan kehidupan dalam era pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai bantuan telah pun disalurkan kepada keluarga-keluarga yang terjejas sebelum ini.

“Bantuan dalam bentuk makanan dan wang telah dihulurkan melalui Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0, 2.0 dan terkini 3.0 kepada mereka yang terjejas pendapatan ketika pandemik COVID-19.

“Hasil kajian menunjukkan cabaran dan tekanan dalam menghadapi gelombang baharu pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa 79.9 peratus keluarga telah terjejas oleh gelombang ketiga jangkitan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Bulan Keluarga Malaysia peringkat negeri anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri (LPPKN) secara maya disini hari ini.

Hajiji berkata, adalah penting bahawa institusi keluarga perlu diberi sokongan bagi menangani isu berkaitan COVID-19.

“Kita bertuah kerana pemimpin negara kita komited untuk memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik. Pendekatan Keluarga Malaysia Perdana Menteri adalah paling tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, tinjauan mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap tingkah laku dan sara hidup, bekerja dari rumah serta perancangan keluarga yang dijalankan oleh LPPKN di negara ini menunjukkan bahawa satu daripada empat responden mengatakan terdapat perubahan besar dalam kehidupan mereka.

Katanya, kesan yang paling ketara adalah terhadap pengurusan kewangan keluarga dengan 49 peratus daripada responden tidak lagi makan di luar.

“Sebanyak 44 peratus mengurangkan setiap bulan perbelanjaan, 40 peratus lagi perlu mengambil simpanan mereka dan 28 peratus terpaksa mencari kerja sambilan dalam ekonomi gig.

“Walaupun kita terpaksa hidup dengan COVID-19, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk kita mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.

“Ikatan ibubapa dan anak yang kukuh akan bertindak sebagai yang barisan pertama pertahanan untuk membantu ahli keluarga yang menghadapi tekanan dan kesan negatif akibat pandemik,” katanya.

Hajiji turut berharap pihak swasta, NGO dan masyarakat turut melakukan peranan mereka untuk memastikan program kesejahteraan keluarga dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya juga berharap Bulan Keluarga Malaysia yang disambut pada setiap November akan datang dapat menyatukan Keluarga Malaysia menghadapi krisis ekonomi dan COVID-19,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *