KPLB Bantu Perkasa Program Vaksinasi Bergerak Di Pedalaman Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melaksanakan Operasi Vaksin Penilaian Pantas atau Rapid Assessment Vaccination Operation (RAVO) bagi mempercepatkan proses vaksinasi masyarakat luar bandar di Sabah.

Program dibawah Tanggungjawab Sosial Korporat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan anak syarikatnya, MARA Liner Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Pusat Kesihatan Daerah Papar, bergerak dari rumah ke rumah penduduk.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menyerahkan kerusi roda kepada wakil penerima untuk kegunaan Klinik Kesihatan Kinarut semasa majlis pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO hari ini, sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah MARA Dato Azhar Abdul Manaf (kiri) dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) melancarkan majlis Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah MARA Dato Azhar Abdul Manaf (kiri) dan Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi (kanan).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan program vaksinasi secara mobil itu adalah bagi memudahkan urusan logistik masyarakat tempatan untuk menerima vaksin.

“Keprihatinan KPLB dan MARA ini merupakan komitmen kementerian dan agensi kita dalam mendokong pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 bagi membolehkan semua masyarakat di luar bandar khususnya hari ini di Dun Pantai Manis untuk menerima suntikan vaksin sebelum hujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media selepas simbolik pelancaran Pasukan Bergerak Vaksinasi KPLB/MARA/PKD Wheel RAVO dan lawatan ke Pusat Vaksinasi Papar bagi meninjau sendiri proses pemberian suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar di sini ini hari ini.

Menurut Mahdzir, program RAVO melibatkan 21 buah perkampungan di Papar meliputi 1,500 orang masyarakat luar bandar yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Katanya, selain Papar, program ini juga akan meliputi kawasan Kinabatangan, Beaufort dan Tawau dengan sasaran tujuh ribu penduduk akan divaksin.

Dalam pada itu, enam buah bas MARA Liner diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan sembilan buah kaunter vaksinasi termasuk untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Manakala proses suntikan akan dilaksanakan selama satu minggu bermula 1 hingga 7 Disember 2021.

Program tersebut akan menggunakan tujuh unit kenderaan pacuan empat roda dan satu unit van sebagai kemudahan pengangkutan.

Dalam lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan pelitup muka, panel pelindung muka, cecair sanitasi tangan dan lima buah kerusi roda bagi kegunaan penerima vaksin di pusat vaksinasi PKD Pengalat Besar Papar serta turut disampaikan bantuan kemudahan lain kepada pasukan petugas PKD dan sukarelawan kesihatan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah MARA Dato Azhar Abdul Manaf, Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal dan ADUN Kawang Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *