Sabah Bakal Mempunyai Skytrain Hubungkan LTAKK Ke UMS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Sabah bakal mempunyai Sistem Transit Pantas (RTS) pertama dengan temeterainya satu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara WHSB Ventures Sdn Bhd (WVSB), Vizione Construction Sdn Bhd, Sycal Skycity Sdn Bhd dan Guangcai China (M) Sdn Bhd.

Menerusi MoU itu, projek bernilai billion ringgit itu akan melihat perkhidmatan Skytrain menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) melalui kawasan pusat bandar.

Wakil empat syarikat hari ini telah berjaya memeterai MoU bagi menerokai pelaksanaan projek berkenaan.

“Objektif MoU ini adalah bagi mewujudkan kerjasama formal dan kerjasama berkaitan dengan penyediaan serta pelaksanaan projek.

“Kerjasama ini akan membawa kepada perbincangan diperingkat akhir iaitu persetujuan yang mengikat kerjasama diantara semua pihak,” kata WVSB Sdn Bhd dalam satu kenyataan disini selepas Majlis MoU itu di sini, hari ini.

Katanya, projek mega itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dimana fasa pertama melibatkan bahagian pertama Skytrain dan juga 64 hektar pembangunan campur komersial untuk dibangunkan sepanjang Teluk Likas.

“Fasa pertama Skytrain akan melibatkan laluan sejauh 10.5 kilometer (KM) dari LTAKK ke pusat bandar dan juga pembangunan campur yang dikenali Jesselton New City.

“Bagi fasa pertama ini, Skytrain akan dibina dalam tempoh masa tiga tahun dengan jangkaan kos hampir RM1 bilion dan ia akan dijana oleh sekumpulan pelabur.

“Skytrain akan bermula di LTAKK melalui KK Central terminal, Terminal Gaya Street sebelum berakhir di Terminal Jesselton New City.

“Cadangan asal untuk syarikat pengurusan konsesi untuk operasi perkhidmatan Skytrain menerusi Syarikat Tujuan Khas (SPV) di mana pegangan dalam entiti itu hendaklah dalam bentuk saham percuma dan hendaklah dimiliki oleh Kerajaan Sabah. Ini akan diwujudkan pada peringkat seterusnya,” katanya.

Selain itu, Pembangunan Jesselton New City dijangka akan memakan kos bernilai RM5 bilion dan dijangka siap dalam tempoh enam tahun.

Fasa kedua Skytrain yang akan dikenali sebagai LTAKK Express Line 2 akan merangkumi laluan sejauh 15KM dari Terminal Pusat Jesselton ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, UMS dan berakhir di Pusat Komersial Alamesra dan kawasan perumahan.

LTAKK Express Line 2 dijangka memakan kos bernilai RM1.425 bilion dan akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).

Hadir sama menyaksikan MoU berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *