113 Graduan Terima Anugerah Sijil Pertanian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 113 graduan menerima anugerah Sijil Pertanian pada Majlis Konvokesyen Ke-49 Institut Pertanian Sabah, Jabatan Pertanian Sabah yang diadakan di Dewan Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, Institut Pertanian Sabah (IPS) telah dianugerahkan pengiktirafan Program Sijil Pertanian Tahap 3 daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA), dimana ia merupakan entiti yang bertanggungjawab ke atas jaminan kualiti pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

“Syabas dan tahniah di atas pengiktirafan ini kerana ia memberi impak positif terhadap jaminan kualiti penyampaian akademik yang melibatkan penambahbaikan berterusan dalam silibus yang diajar di IPS,” katanya.

Menurut Jeffrey lagi, pengiktirafan MQA juga akan melayakkan perpindahan kredit kursus seterusnya memendekkan tempoh pengajian di institusi yang lebih tinggi. Justeru, ia akan memberi kelebihan kepada graduan dalam permohonan kerjaya di sektor perkhidmatan awam dan swasta.

“Saya menyeru agar para graduan terus kekal dan berusaha menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian. Para graduan perlu menghadapi cabaran dan beradaptasi Ke Arah Revolusi Industri Pertanian 4.0 agar dapat berkembang seiring dengan kemajuan teknologi pertanian terkini,” katanya.

Jeffrey dalam ucapan perasmiannya turut menitipkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Sabah yang telah berjaya mengadakan majlis konvokesyen ini dengan teratur dan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang berkuatkuasa.

Beliau juga berharap institusi ini akan terus mampan, dinamik dan maju dalam pendidikan bidang pertanian bagi memenuhi keperluan modal insan dalam sektor pertanian di Negeri Sabah.

“Saya percaya dengan keseragaman kurikulum yang digunakan di seluruh Institut Pertanian Malaysia, kualiti graduan pertanian akan terjamin seiring dengan permintaan industri masa kini. Saya berharap agar IPS meneruskan usaha dan bakti dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pertanian,”ujarnya.

Jeffrey turut menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada para graduan untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri I, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri II, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Hendrus Anding, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Mariana Tinggal, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Adanan @Adnan Atin, Pengarah Pertanian Sabah, Dzulkifli Ghulamdin dan ketua-ketua pegawai dan agensi negeri dan persekutuan serta para ibubapa graduan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *