Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Sabah akan membina lebih banyak rumah mampu milik termasuk di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Lembaga Pembangunan Perumahan Dan Bandar (LPPB) kini sedang membina 175 buah rumah kos rendah di beberapa buah daerah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Katanya, ia termasuklah di Kemabong, Sukau,Melalap dan Beluran.

“Adalah diharapkan melalui usaha yang diambil oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk memiliki rumah.

“Kerajaan GRS juga akan memastikan lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di negeri ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembangunan 441 Unit Kondominium di Signal Hill disini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hajiji berkata, LPPB kini telah menyiapkan 29,218 buah rumah kos rendah di seluruh Sabah sejak Rancangan Malaysia Pertama sehingga RMK-11.

Katanya, pada masa yang sama sebanyak 32 projek PPR telah dibina di Sabah yang terdiri daripada 21,800 unit rumah.

“Empat projek PPR sedang dalam pembinaan iaitu di Pitas, Tagasan  (Semporna), Kionsom (Inanam) dan Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, projek kondominium yang diusahakan KPLB melalui MARA bersama kerajaan negeri ini merupakan satu projek yang baik kerana ia mampu menarik minat pelabur asing untuk ke Sabah menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku.

Katanya, projek itu turut menawarkan peluang pekerjaan yang berpotensi kepada 1,000 penduduk tempatan selain daripada mewujudkan spin-off ekonomi di kawasan sekitar.

“Saya percaya pembinaan projek ini adalah tepat kerana Kerajaan Negeri telah berjaya menarik beberapa pelaburan baru dalam pembuatan dan sektor pelancongan.

“Pelabur juga pasti memerlukan kemudahan asas termasuk rumah,”katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *