Penggiat Industri Pelancongan Berharap Bajet 2022 Sabah Lebih Banyak Peluang & Manfaat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan Sabah beralih ke fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), banyak aktiviti sosial telah dibuka dan kembali beroperasi termasuklah sektor pelancongan.

Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Sabah Grace Leong berkata, lebih kurang 1,200 pemandu pelancong Sabah kehilangan punca mata pencarian akibat pandemik COVID-19 melanda negara. Dan menjadi harapan beliau bersama penggiat-penggiat industri pelancongan lain Bajet 2022 Sabah yang akan dibentangkan nanti memberi banyak peluang dan manfaat kepada usaha mereka untuk kembali beroperasi dengan lebih aktif agar dapat menarik ramai pelancong ke negeri ini seterusnya dapat memulih ekonomi dalam sektor ini.

“Pada masa yang sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai pekerja kami (pemandu pelancong) tiada pendapatan sebab kekangan penularan COVID-19, mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti ada yang menjadi penghantar makanan ‘GrabFood’ dan lain-lain lagi.

“Kami bersyukur baru-baru ini, kerajaan turut mengambil perhatian terhadap nasib kami iaitu mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Ia serba sedikit dapat meringankan beban yang kami tanggung,” katanya.

Menurut Grace cabaran bagi menarik pengunjung secara norma baharu ini adalah cara meyakinkan para pengunjung dari segi jaminan keselamatan dan kesihatan memandangkan kita masih berada dalam pandemik COVID-19.

Dengan inisiatif Grace bersama beberapa rakannya telah mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini secara maya bagi menarik lebih ramai pelancong -pelancong yang rindukan Sabah.

“Kaedah memuatnaik destinasi pelancongan di dalam laman sosial seperti Facebook adalah sangat berkesan, kami dapat meyakinkan para pelancong yang bakal berkunjung ke negeri Sabah dan membawa penonton (pelancong) melakukan lawatan berjalan kaki secara maya sebelum mengadakan lawatan sebenar, melihat tempat-tempat menarik di Sabah seterusnya dibawa melihat pelbagai kemudahan yang telah disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” jelas Grace.

Grace berharap dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 Disember ini, kerajaan turut sama mempromosi dan terus menyokong usaha penggiat-penggiat industri pelancongan di Sabah yang juga turut memainkan peranan penting dalam memacu meningkatkan ekonomi negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *