Pembinaan Kondominium Signal Hill Bakal Rancakkan Ekonomi Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Industri pembinaan di Sabah terus dirancakkan lagi menerusi projek pembangunan kondominium Signal Hill dengan kos pembinaan sebanyak RM500 juta.

Projek hartanah pertama di Sabah yang dibangunkan oleh anak syarikat MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) iaitu MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) akan mula dibina pada suku pertama tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ini juga dijangka mampu merancakkan semula ekonomi dan industri pembinaan tempatan terutama dalam fasa pemulihan ini.

Katanya, selain itu ia juga akan turut memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah serta golongan peniaga bumiputera yang terkesan ekoran penularan COVID-19 yang melanda negara.

“Kondominium Signal Hill ini mempunyai sebanyak 441 unit dimana 30 peratus unit akan dikhaskan kepada kaum Bumiputera Sabah dengan potongan harga istimewa.

“Selain daripada itu, projek pembangunan ini akan turut dijadikan sebagai contoh inisiatif pembangunan perumahan di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) yang bakal membawa banyak manfaat kepada ekonomi Sabah melalui kemasukan pelabur dan pelancong luar negara ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang di sempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor disini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MARA Datuk Seri Azizah Mohd Dun; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mahdzir berkata, cadangan projek pembangunan kondominium berprestij ini akan dilaksanakan  secara usahasama dan telah dirancang untuk dibangunkan di atas sebidang tanah dengan keluasan 5.48 ekar di lokasi berprestij di bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, lokasi hartanah yang dikenali sebagai Signal Hill itu dilihat amat bersesuaian di mana hartanah ini terletak  dalam lingkungan kawasan perumahan elit di Kota Kinabalu dengan jarak kurang 10 minit dari pusat bandar.

“Selain itu, sebanyak 14 lot kedai dengan keluasan 20,000 kaki persegi turut disediakan kepada peniaga-peniaga yang akan dipilih mengikut kesesuaian aktiviti perniagaan konsep moden.

“Melalui projek pembangunan yang  dilaksanakan ini, saya percaya negeri Sabah akan berupaya untuk terus berkembang maju seiring aspirasi  pembangunan luar bandar dan seterusnya membantu peningkatan ekonomi setempat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *