Bajet 2022 : Sabah Terus Laksana Program Keagamaan Dengan Semangat Keluarga Malaysia

Read Time:59 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan terus melaksanakan program-program keagamaan melalui penyaluran perbekalan dan pembangunan sebanyak RM164.12 juta kepada agensi-agensi Kerajaan berkaitan, badan-badan keagamaan dan pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia yang meliputi semua agama dan kaum di negeri ini.

“Kesejahteraan rakyat juga akan terbina melalui keharmonian hidup bermasyarakat yang dilindungi kerukunan adat resam.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menambah baik pengurusan sistem perundangan anak negeri. Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk meneruskan sambungan secara berfasa pembinaan Projek Mahkamah Anak Negeri Sook, Paitan dan Pagalungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hajiji berkata, Geran khas akademik telah diluluskan kepada UiTM Cawangan Sabah bagi menjalankan kajian pembangunan aplikasi e-NATIVE LAW Kit.

Katanya, aplikasi ini yang akan dibangunkan oleh para pensyarah Undang-undang UiTM boleh menjadi sumber rujukan komprehensif bagi kakitangan Mahkamah Anak Negeri di semua peringkat dan boleh diakses oleh orang awam.

“Selain membolehkan semua pihak lebih memahami undang-undang anak negeri dan meningkatkan kecekapan pengurusan, inisiatif ini adalah antara langkah untuk memartabatkan Sistem Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *