Bajet 2022 : Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak RM919.18 juta diperuntukkan bagi pembangunan sektor-sektor produktif selain memberi fokus utama kepada pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara sektor itu ialah pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Pada tahun 2022, sebanyak RM919.18 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan ketiga-tiga sektor tersebut.

“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM8.48 juta atau bersamaan 0.92 peratus berbanding peruntukan tahun 2021 iaitu sebanyak RM910.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor pertanian merupakan sektor terbesar pertumbuhan ekonomi negeri dalam Hala Tuju SMJ.

Katanya, Kerajaan komited untuk terus memperkasa pembangunan sektor pertanian melibatkan empat sub-sektor iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan/Akuakultur dan Komoditi Getah.

“Matlamat Kerajaan dalam memacu sektor ini adalah untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil serta produk pertanian negeri dan memastikan tahap sara diri atau Self-Sufficiency Level (SSL) ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif pemodenan.

“Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang produktif dalam menyediakan bahan makanan kepada penduduk, peluang perniagaan dan pekerjaan serta sumber bahan mentah kepada sektor pembuatan.

“Justeru, sebanyak RM561.81 juta diperuntukkan kepada sektor pertanian pada tahun hadapan. Pada tahun 2022, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAF) diperuntukkan sebanyak RM65.09 juta bagi tujuan perbelanjaan perbekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, selain sektor ertanian, Belanjawan 2022 juga akan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor perindustrian yang merupakan sektor kedua fokus pertumbuhan ekonomi.

Katanya, susulan daripada kejayaan pelaksanaan inisiatif pelaburan SK Nexilis, kerajaan sedang dalam proses akhir rundingan untuk beberapa pelaburan lain yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan dan pelbagai kesan limpahan ekonomi lain.

“Bagi memperkasa lagi agenda pembangunan perindustrian, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM129.97 juta untuk pembangunan sektor perindustrian dan perdagangan di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (KPP), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pandemik COVID-19 mengakibatkan pelancongan menjadi sektor yang terjejas teruk disebabkan penutupan sempadan dan sekatan penerbangan keluar masuk di seluruh negara termasuk Negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri bertekad untuk memulihkan segera industri pelancongan secara berperingkat dan sekali gus mengembalikan dan melonjakkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan tumpuan.

“Antara fokus strategi yang sedang dilaksanakan adalah meningkatkan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti luar bandar, mempergiatkan pemasaran dan promosi serta memperkukuhkan dan menarik business events.

“Pada tahun 2022, secara keseluruhannya, sejumlah RM227.4 juta diperuntukkan kepada sektor pelancongan.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM131.93 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensi di bawahnya.

“Antara langkah yang dilaksanakan adalah melalui Program Pembangunan Pelancongan Luar  Bandar sebagai sokongan dalam membangunkan fasiliti-fasiliti dan produk pelancongan luar bandar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *