DUN Sabah : JANS Laksana Kajian & Rekabentuk Cadangan Tambahbaik Mutu Air Mentah Sungai Padas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan melaksanakan kajian dan rekabentuk bagi cadangan penambahbaikan mutu air mentah Sungai Padas untuk Loji Rawatan Air (LRA) Beaufort 1 dan LRA Beaufort 2.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata, ia adalah bagi memastikan bekalan air terawat tetap berterusan walaupun ketika musim hujan dan kemarau.

“Kajian ini melibatkan cadangan pembinaan sebuah fasiliti Pra-Pemendapan di muka sauk bagi mengawal kekeruhan air.

“Selain itu juga akan membina sebuah Kolam Takungan Air Pinggir Sungai (Off-River Storage, ORS) sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ruslan Muharam (PBS-Lumadan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dalam pada itu, Limus berkata, penggunaan bahan kimia iaitu (PAC) ‘’Poly Aluminium Chloride’’ akan digunakan khusus pada musim banjir bagi mengatasi masalah kekeruhan air ketika musim banjir di LRA 1 dan LRA 2.

Katanya, ini disebabkan ciri-ciri bahan kimia ini sangat berkesan digunakan untuk menjimatkan masa rawatan air ketika air yang sangat keruh disamping dapat mengelakkan dosing pam yang sering tersumbat ketika menggunakan bahan kimia konvensional seperti Aluminium Sulfat dan Hydrated Lime.

“Bagi mengatasi masalah pengurangan bekalan air terawat daripada LRA Beaufort 2 pada musim kemarau, satu ‘’weir’’ sementara telah dibina di Sungai Padas berdekatan dengan muka sauk.

“Ini bertujuan untuk menjadi bendung bagi meninggikan paras sungai dan mengalirkan sebahagian aliran sungai ke muka sauk di LRA Beaufort 2,” katanya.

Terdahulu, Limus berkata, bekalan air terawat bagi kawasan daerah Beaufort dan sekitarnya adalah dibekalkan melalui LRA Beaufort 1 dan LRA Beaufort 2 yang mempunyai kapasiti rekabentuk sebanyak 60 Juta Liter Sehari daripada sumber Sungai Padas.

Katanya, setelah LRA Beaufort 2 telah siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2018, hampir 60 peratus kawasan di daerah Beaufort mendapat bekalan air daripada LRA Beaufort 2 dan selebihnya menerima bekalan air daripada LRA Beaufort 1.

“Gangguan bekalan air yang dihadapi di daerah Beaufort adalah apabila musim banjir dan kemarau dimana LRA Beaufort 1 dan Beaufort 2 terpaksa menghentikan proses rawatan air apabila kekeruhan air melebiihi 1,500 NTU.

“Pada musim kemarau LRA Beaufort 2 terpaksa mengurangkan pengeluaran bekalan air terawat  disebabkan paras sungai yang rendah daripada permukaan muka sauk,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *