HomeIsu tempatanKPDNHEP Periksa 65 Premis & Sebuah Pasar Raya Di Kota Kinabalu

KPDNHEP Periksa 65 Premis & Sebuah Pasar Raya Di Kota Kinabalu

Read Time:3 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 65 premis telah diperiksa meliputi gerai menjual ayam, telur, sayur-sayuran dan sebuah pasar raya tumpuan pengguna di Kota Kinabalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, Ketua Pegawai KPDNHEP Negeri Sabah, Taha Julai hari ini telah membuat lawatan ke Pasar Besar Kota Kinabalu, bagi meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2021 Peringkat Negeri Sabah. SHMKM 2021 berkuatkuasa mulai 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.

“SHMKM 2021 ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran. SHMKM 2021 juga adalah merupakan komitmen kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup pada masa kini,” kata Georgie dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Skim ini akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:

(1) Ayam hidup

(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

(4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)

(5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)

(6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)

(7) Kacang panjang

(8) Cili merah

(9) Tomato

(10) Sawi hijau

(11) Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)

(12) Timun

Menurut Georgie, bagi pelaksanaan Skim ini di Sabah, ianya telah ditetapkan di kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur negeri ini.

Turut hadir bersama dalam tinjauan yang dijalankan adalah sembilan orang pegawai KPDNHEP Negeri Sabah.

Semasa tinjauan dijalankan, Taha turut menasihatkan para peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi SHMKM 2021 dengan tidak menjual melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

Peniaga seterusnya diingatkan juga agar mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu (pink) untuk barang kawalan SHMKM, mempamerkan penandaan harga yang jelas, mempastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna di samping terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah yang sedang berkuatkuasa.

Pengguna pula dinasihatkan agar menggunakan hak sebagai pengguna dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

“Para pengguna hendaklah sedar tentang kepentingan berbelanja secara berhemah dan tidak perlu membeli secara berlebihan. Pengguna boleh melaporkan kepada KPDNHEP jika ada peniaga yang menjual lebih daripada harga kawalan atau menaikkan harga jualan secara tidak munasabah.

“Selain daripada itu, pengguna juga turut diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP PPN negeri Sabah yang sedang berkuat kuasa,” Ujar Georgie.

Beliau juga berharap SHMKM 2021 ini akan berjalan dengan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran. Senarai barangan juga akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

“Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah SHMKM 2021,” tegasnya.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“Kesalahan gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual di bawah AKHAP 2011, individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, dan syarikat, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000,” jelasnya.

Sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan SHMKM 2021, aduan boleh disalurkan kepada Kementerian melalui Portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, Emel [email protected], Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 Whatsapp ke 019- 279 4317, Hadir sendiri ke Pejabat KPDNHEP yang berdekatan atau Surat rasmi ke Pejabat KPDNHEP berdekatan

Hubungi Bilik Gerakan Cawangan KPDNHEP Sabah di talian:

  1. KOTA KINABALU : 088-484368
    2. SANDAKAN : 089-668107
    3. TAWAU : 089-776690
    4. TUARAN : 088-787822
    5. KUDAT : 088-615311
    6. KENINGAU : 087-338401
    7. LAHAD DATU : 089-886090
    8. SEMPORNA : 089-782855
    9. BEAUFORT : 087-222240

Waktu beroperasi bagi Bilik Gerakan KPDNHEP Sabah dan cawangan adalah dari pukul 8.00 pagi sehingga pukul 6.00 petang setiap hari (termasuk hujung minggu dan cuti umum).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular