DUN Sabah : KKTP Tekad Tingkat Perkhidmatan Kepada Rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah serta Jabatan, Agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertekad untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia melalui penambahbaikan Sistem Penyampaian serta melaksanakan sepenuhnya program pembangunan yang telah dirancang pada tahun hadapan.

Katanya, ini termasuklah meneruskan fasa seterusnya dalam penyediaan 175 unit perumahan kos rendah kepada rakyat di luar bandar.

“Rumah itu membabitkan 50 unit di Kemabong, Tenom, 50 Unit di Sukau, Kinabatangan, 50 Unit di Melalap, Tenom dan 25 Unit di Beluran.

“Kesemua perumahan kos rendah ini akan dijual pada harga RM42,000.00 hingga RM47,000.00 seunit,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, KKTP juga sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kementerian, agensi dan PBT.

Katanya, pada tahun ini, kementeriannya telah menyiapkan Pelan Strategik KKTP 2021-2025 yang mengambilkira Inisiatif dan Halatuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Sebagai menyahut seruan Kerajaan dalam membenteras dan menangani gejala rasuah, Kementerian saya juga telah membangunkan Pelan Anti Rasuah KKTP 2021 – 2025.

“Sistem Pemantauan Aduan KKTP juga sedang berada di fasa akhir pembangunan sistem (penetretion test) sebelum digunapakai sepenuhnya pada awal tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, sistem aduan itu akan membolehkan pihak Kementerian membuat pemantauan secara terus melalui atas talian untuk memberikan respon atau maklumbalas awal terhadap sebarang aduan yang telah dikemukakan kepada Kementerian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *