HIP Bantukan Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Dalam Kalangan Pelajar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

TUARAN: Pelaksanaan Highly Immersive Programme (HIP) diyakini dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar khususnya di daerah ini.

Isteri kepada Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata ia sejajar dengan matlamat program itu yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, warga sekolah seterusnya komuniti setempat.

“Program HIP ini perlu diteruskan, memandangkan komunikasi dalam bahasa Inggeris umpama satu keperluan asas dalam kehidupan. Ia termasuk untuk mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran globalisasi pada hari ini tanpa mengabaikan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu.

“Justeru, semua warga pendidik dan ibu bapa ada peranan masing-masing dalam mempersiapkan generasi muda dengan penguasaan bahasa Inggeris demi menghadapi cabaran globalisasi semasa,” katanya ketika merasmikan Penutupan Karnival HIP Peringkat Kebangsaan 2021 di Nexus Resort & Spa Karambunai, sini pada Khamis.

Juliah berkata, penguasaan bahasa Inggeris tidak akan tercapai sekiranya pihak yang berkepentingan tidak memainkan peranan masing-masing.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah serta semua warga sekolah adalah pemain utama dalam melaksanakan program HIP, dengan sokongan yang kuat daripada ibu bapa dan murid-murid serta komuniti setempat seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin di peringkat akar umbi.

“Semua guru harus menjadi model dan sebahagian dalam HIP sekolah, dalam usaha mempromosikan bahasa Inggeris dengan memulakan Program Sehari Berbahasa Inggeris setiap minggu,” katanya.

Juliah berkata aktiviti bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan guru terlebih dahulu di kawasan sekolah boleh dimulakan bagi memotivasikan murid-murid tanpa menghiraukan ketidakpetahan ataupun kesilapan tatabahasa secara langsung ataupun tidak langsung.

Katanya, guru bahasa Inggeris perlu membimbing mengikut kaedah dan pendekatan yang sesuai untuk menimbulkan rasa minat dalam kalangan pelajar agar lebih berani serta yakin bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Saya berharap agar Program HIP ini dapat diteruskan, bukan sahaja memperkukuhkan bahasa ini dalam kalangan murid tetapi turut meningkatkan kebolehpasaran anak-anak muda yang bakal masuk ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Wanihim Othman,Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran (Sektor Pembelajaran), Rusdih Linah; Pegawai SISC dan Penyelaras Bahasa, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, merangkap Setiausaha PeWaniS Tuaran, Dr. Bitty Ansawi dan Penyelaras Karnival Highly Immersive Programme (HIP) Peringkat Kebangsaan 2021, Kohaye Kuasah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *