HomeUtamaKes Rasuah Penjawat Awam Di Sabah Turun 87 peratus

Kes Rasuah Penjawat Awam Di Sabah Turun 87 peratus

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Kes rasuah melibatkan penjawat awam negeri menurun sebanyak 87 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini berikutan usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Negeri membanteras gejala itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penurunan ketara itu jelas memperlihatkan bahawa tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama memerangi jenayah ini semakin meningkat.

Statistik SPRM menunjukkan sebanyak 47 kertas siasatan dibuka pada tahun 2018 yang kemudiannya menurun kepada 11 pada 2019, sembilan pada 2020 dan sehingga Ogos tahun ini hanya enam kes telah disiasat.

“Ianya turut mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini,” kata Hajiji sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri Sabah di Menara Kinabalu, dekat sini pada Khamis.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) untuk memastikan tahap integriti tinggi kalangan pejawat awam dan menangani gejala rasuah.

“Saya menyeru kepada semua kementerian di negeri ini agar turut memberikan komitmen yang padu dalam mengwujudkan OACP,” katanya sambil menambah bagi syarikat milik kerajaan negeri Sabah (GLC), pelaksanaan pelan itu adalah merupakan salah satu inisiatif dalam mempersiapkan organisasi komersial kerajaan agar mempunyai tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hajiji berkata sembilan daripada 11 kementerian negeri telahpun melaksanakan OACP masing-masing.

Katanya selain daripada memantapkan lagi tadbir urus dan integriti, pelaksanaan OACP dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya percaya jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah memberikan komitmen yang tinggi dan berusaha melestarikan integriti secara menyeluruh khususnya kepada seluruh Warga Perkhidmatan Awam di negeri ini, untuk bersama-sama melakukan perubahan dengan menyedarkan masyarakat keseluruhannya bahawa perbuatan memberi rasuah merupakan suatu kesalahan yang amat serius,” katanya.

Hajiji menggesa agar masyarakat memberi sokongan dan kerjasama dengan melaporkan kesalahan seperti salah guna kuasa dan rasuah di kawasan mereka kepada SPRM.

“Mereka yang memberi maklumat penting kepada SPRM akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular