HomeEkonomiSEA Anjur Jom Business Revive Expo Sabah 2021

SEA Anjur Jom Business Revive Expo Sabah 2021

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA.KINABALU: Acara ‘Jom Business Revive Expo Sabah 2021’ anjuran Persatuan Majikan-Majikan Sabah (SEA) adalah sebagai pemangkin kepada usahawan-usahawan Perusahaan Kecil dan Sedarhana (PKS) tempatan bangkit semula dan bergerak ke hadapan dengan lebih maju.

Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Disember bertempat di Dewan Pameran Karamusing dekat sini, disokong kuat oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian, Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan Jabatan Kemajuan Perindustrian.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, acara ‘Jom Business Revival Expo Sabah 2021’ ini melambangkan keinginan gigih yang kuat untuk maju oleh penganjur dan usahawan dalam menghadapi cabaran masa kini.

“Kita telah melalui dua tahun yang sukar kerana pandemik COVID-19. Di sebalik sekatan dan kesukaran ekonomi, adalah sesuatu yang menggembirakan apabila melihat semakin ramai usahawan baharu dan usahawan yang mampan muncul.

“Ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), untuk terus membantu para usahawan, mengembangkan industri tempatan dalam rantaian bekalan mereka, daripada bahan mentah huluan kepada produk akhir hiliran,” kata Dr Joachim semasa merasmikan acara tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, lebih 40 peserta yang menyertai ekspo ini dan mempamerkan produk serta perkhidmatan tempatan, termasuk peluang perniagaan berlesen.

Ekspo ini juga bertujuan untuk mendedahkan dan memaklumkan kepada orang ramai tentang apa yang ditawarkan oleh PKS tempatan.

Menurut Dr Joachim, Kementerian Pembangunan Perindustrian, melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) sentiasa prihatin kepada usahawan-usahawan ini dan akan meneruskan bantuan yang diharap akan meningkatkan produktiviti dan secara tidak langsung akan menambah peluang pekerjaan.

Katanya, sehingga kini, seramai 5,200 usahawan di bawah jagaan Kementerian dan penyertaan ekspo hari ini oleh 30 usahawan dibawah MID dan DIDR merupakan petunjuk bahawa terdapat pelbagai industri Sabah dari segi produk dan perkhidmatan. Malahan, ada yang membangunkan cawangan berlesen atau sistem francais sendiri, yang pastinya mengutamakan standard yang tinggi.

” Kementerian saya menyokong penyertaan dalam acara dan ekspo perniagaan, untuk memberi pendedahan kepada usahawan kita, untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. Ekspo ini akan mempromosi dan mengetengahkan produk-produk tempatan untuk pengguna jauh dan dekat.

“Saya berharap, akan lebih ramai usahawan yang menyertai ekspo atau program seumpama ini pada masa akan datang, yang mana, pada kali ini mereka mempamerkan lebih 3,000 produk dan perkhidmatan mereka. Ini menjadi motivasi bagi generasi muda untuk menyertai pelbagai sektor industri dan menjadi usahawan,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular