COVID-19: Kes Terendah Direkodkan Sejak 29 Jun lalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah mencatatkan jumlah kes harian terendah sejak 29 Jun lalu dengan hanya merekodkan 197 kes baharu pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu merekodkan 90 kes lebih rendah berbanding semalam.

“Beberapa daerah merekodkan penurunan kes baharu pada kadar yang agak besar dimana Kota Kinabalu turun sebanyak 30 kes, Papar turun 20 kes, Ranau berkurangan 11 kes, Putatan turun 19 kes dan Tenom susut 7 kes.

“Walau bagaimanapun beberapa daerah lain mencatat kes harian yang lebih tinggi termasuk Tuaran yang menambah 17 kes (35) dan menjadi penyumbang tertinggi kes-kes baharu di Sabah hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, kes-kes baharu di Kota Belud dan Penampang juga bertambah tetapi dalam jumlah yang kecil.

Katanya, jumlah daerah yang tidak melaporkan sebarang kes baharu semakin bertambah.

“Pada hari ini sebanyak lapan daerah mencatat sifar kes dan 13 daerah mencatat jumlah kes baharu di bawah 10.

“Seramai 194 orang daripada 197 pesakit atau 98.48 peratus kes yang dilaporkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tidak ada pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 5 dan seorang pesakit dalam Kategori 4,” katanya.

Katanya, dua kes lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sementara itu, Masidi berkata, berdasarkan statistik kes harian pada semalam, jangkaan kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R0/RT bagi seluruh Negara ialah 0.97 manakala bagi negeri Sabah, 0.87.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *